Kini lebih dikenali sebagai chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkata tahun 2023 bakal membuka lembaran baharu dalam karier seni suaranya.
Menurut penyanyi yang pernah meletup dengan lagu Asmara Ini kira-kira 20 tahun lalu, beliau mahu menebus semula waktu kegemilangannya suatu ketika dahulu, sehingga kemunculan semula di pentas Gegar Vaganza sebelum ini.
Nama Fazley Yaakob pernah dihalang untuk keluar di media massa suatu ketika dahulu, termasuklah lagu-lagunya, membuatkan beliau tenggelam dalam dunia seni. Namun, beliau keluar daripada zon selesa dan muncul sebagai chef sehingga terkenal menerusi beberapa program masakan.
“Saya nak menyanyi semula tahun 2023 boleh?
“Ramai tanya saya kenapa saya berhenti menyanyi secara tiba-tiba ketika lagu Asmara Ini sedang meletop di corong radio hampir 20 tahun lalu.
“Ramai juga cakap, tak payah nyanyi lah sebab nama tengah naik dulu “kau sibuk nak berhenti nyanyi kan?”
“Hanya mereka yang tahu akan tahu, bukan saya berhenti menyanyi, tapi saya dihalang daripada menyanyi. Lagu-lagu semua tidak boleh dimainkan di mana-mana corong radio, saya tak dibenarkan muncul di kaca tv.
“Malahan, sebarang berita mengenai saya juga tidak dibenarkan untuk sebarang penerbitan.
“Jadi buat ramai yang bertanya selama ini, kenapa saya tiba-tiba hilang daripada dunia nyanyian dan muncul sebagai Chef, itulah kebenarannya,” demikian menurut Fazley.
Katanya lagi, apabila manusia merancang, Allah lebih mengetahui dan menyusun jauh lebih sempurna. Maka, beliau hanya bersabar dan redha selama ini.
Dalam hantaran sama, Fazley turut berkongsi kompilasi persembahan nyanyiannya selama ini, termasuklah duet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Buat rakan media yang kekal menyokong saya selama ini terima kasih saya ucapkan tak terhingga. Buat mereka yang masih ingat #AbangAsmara, syukur Alhamdulilah!
“Cuba tengok klip-klip video nyanyian live saya sepanjang tempoh saya tidak dibenarkan menyanyi hinggalah saya kembali ke kaca TV melalui #Gegarvaganza!
“Soalan saya sekali lagi, boleh ke saya menyanyi semula tahun ni? Untuk suka suka je, bukan untuk menang anugerah pun,” kata Fazley menerusi hantaran di Instagram.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya menyokong kemunculan semula Fazley ke dalam industri seni tanah air.
Sumber: Instagram