Penyanyi, Farisha Iris menafikan dakwaan kononnya dia menjadi punca kepada perpisahan pertunangan pempengaruh media sosial terkenal, Myra Zainal.
Menurut pemilik nama sebenar Farisha Asmadi, 24, kekasihnya sekarang yang juga bekas pemain bola sepak, Hardee, 29, mula dikenalnya sekitar 1 Mac 2023.
Ujarnya, dia tahu teman lelakinya itu pernah putus tunang namun Farisha mengambil pendekatan enggan ambil tahu tentang kisah silamnya.
“Orang kata saya perampas. Itu tidak benar sebab kami baru kenal sekitar 1 Mac 2023.
“Saya tahu dia sebelum ini putus tunang tapi saya tidak pernah mahu ambil tahu tentang kisah silamnya. Saya akan tanya kepada dia sendiri jika ada cerita tentangnya yang saya dengar dari orang lain.
“Apa yang diperkatakan netizen di media sosial tidak tepat pada saya. Tapi saya tak boleh tutup mulut orang, halang mereka daripada bercakap tentang kami. Jadi saya biarkan sahaja,” katanya.
Terdahulu, nama Farisha Iris dikaitkan sebagai punca perpisahan Myra Zainal bersama Hardee, sehinggakan beliau digelar netizen sebagai perampas manakala Hardee sebagai kaki perempuan.
Akui terkesan dengan tuduhan dilemparkan netizen, Farisha turut terkilan apabila tohmahan itu dibuat tanpa sebarang bukti.
“Memang saya terkesan. netizen sekadar bercakap, kata dia lelaki gatal dan sebagainya. Tapi tak sertakan bukti.
“Setiap kita ada cerita masing-masing. Saya boleh cerita kisah silam saya. Tapi aib saya Allah tutup sampai sekarang, Alhamdulillah. Itu pun tak tahu sampai bila,” luahnya.
Dalam perkembangan lain, Farisha berkata selagi mampu beliau akan meneruskan pengajiannya hingga ke peringkat tertinggi.
Sumber: Utusan