Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, sanggup berhabis wang semata-mata mahu memahirkan diri dengan belajar seni bela diri campuran atau MMA.
Menurut aktres berusia 28 tahun itu, ia dilakukan demi menjayakan watak sebagai ejen perisik dalam filem terbarunya, Abang Long Fadil 3.
Katanya, kelas MMA yang diambil setahun lalu itu adalah daripada duit poketnya sendiri sebanyak RM4,000.
“Memang saya ambil inisiatif sendiri untuk sertai kelas MMA itu. Setahun juga saya ikuti kelas itu. Semuanya kerana saya mahu tampil lebih kemas ketika melakukan aksi-aksi dalam filem itu.
“Pihak Skop Production ada memperuntukkan kelas kemahiran bela diri, tetapi cuma empat hari. Saya fikir, ia tidak mencukupi. Jadi, saya ambil inisiatif sendiri.
“Lagipun, ia filem aksi pertama jadi saya tak mahu memalukan diri. Harap-harap berbaloilah dan lakonan saya dapat meraih keyakinan penonton,” katanya.
Tambah pelakon yang mesra dipanggil sebagai Lizzy, beliau bersyukur kerana diberi peluang ini kerana memang sudah lama mengimpikan aksi lasak.
“Saya membesar dengan cerita aksi seperti Charlie’s Angles dan Spy Kids. Sejak dulu lagi, saya memang lasak. Apabila dapat peluang berlakon dalam filem ini, ia seperti bulan jatuh ke riba.
“Walaupun badan lebam-lebam akibat melakukan aksi lasak, saya rasa berbaloi. Saya harap selepas ini, ada lagi pengarah atau penerbit yang akan tawarkan watak seperti ini.
“Kalau dikenali sebagai pelakon aksi pun tidak apa kerana saya suka,” katanya.
Sumber: Utusan