Pelakon, Elisya Sandha, 24, berkata beliau sanggup sahaja membotakkan kepala demi tuntutan watak dalam lakonan, meskipun sedar tindakan itu akan memberi kesan pada tawaran lakonan masa akan datang.
Menurut Elisya, beliau sanggup mencabar diri melakukan suatu yang mustahil, termasuk mencukur botak kepalanya.
"Baru-baru ini, saya ada memotong rambut pendek untuk watak dalam sebuah drama.
"Karakter sebegitu saya sudah buat dan lagi satu karakter saya nak cuba buat wanita yang duduk dalam penjara. Untuk watak ini, saya nak botakkan kepala.
"Tapi, kami masih dalam perbincangan untuk menjayakan watak ini dan belum muktamad, tapi kalau dapat buat, Alhamdulillah.
"Saya okay kalau kena botakkan kepala. Saya tahu tindakan saya akan beri kesan pada tawaran seterusnya, tapi saya boleh cari cara, misalnya pakai rambut palsu dan sebagainya. Kena pandailah," katanya.
Ujar Elisya, ibu mentua dan suaminya turut memberi sokongan atas tindakannya itu kerana faham dengan tuntutan karakter.
"Itu sebab untungnya ibu mentua dalam industri seni, dia faham. Ketika potong gaya 'side cut', dia tak tanya kenapa saya buat begitu, malah memahami saya lakukan untuk karakter.
"Sebab untuk ke tahap seterusnya, saya kena berani. Misalnya potong rambut dan botakkan kepala dan sebagainya. Sebab itulah saya belajar dari kakak, Fasha Sandha dan ibu mentua.
"Suami juga adalah orang yang paling okay sebab pengarah dan faham," katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Elisya akui sudah bersedia untuk menambah seorang lagi cahaya mata apabila puteri sulungnya, Bunga Elhaq mencecah usia dua tahun.
Sumber: BH