Elfira Loy Ungkap Pengalaman Disuntik Vaksin

Selebriti popular Elfira Loy tampil menjadi antara yang terawal dalam mendapatkan suntikan vaksin dan akuinya pengalaman tersebut, pada awalnya membuatkan dia berasa gemuruh.

elfira loy ungkap pengalaman disuntik vaksin

“Jika tidak kerana pembantu peribadi yang hantar, mungkin saya sudah berpatah balik kerana cepat gemuruh apabila hendak berjumpa doktor, lebih-lebih lagi bila perlu disuntik.

“Walhal suntikan tidaklah sesakit mana berbanding ujian calitan.

“Tapi Alhamdulillah, semua berlaku dengan sangat pantas. Setakat ini, saya belum merasa kesan selepas suntikan, mungkin masih terlalu baharu kerana melalui pembacaan, kesannya dirasai selepas lima hingga sembilan jam.

“Walaupun takut untuk disuntik, saya sangat teruja. Bagi saya, ia sangat penting lebih-lebih lagi apabila ada anak kecil.

“Tambah membimbangkan apabila melihat angka jangkitan yang semakin meningkat saban hari dan pesakit yang tidak menunjukkan gejala.”

Selain itu, pelakon yang berusia 27 tahun itu turut menekankan mengenai kepentingan untuk melihat proses suntikan vaksin sebagai sesuatu yang mempunyai banyak kebaikan berbanding dengan kesan-kesan negatif yang sering diuar-uarkan di media sosial.

Elfira turut menekankan mengenai kesan positif terhadap pengambilan vaksin.

“Apabila terlalu takut, kita banyak mencari efek yang buruk sedangkan, kesan baik lebih banyak daripada buruk.

“Saya juga sudah mempersiapkan diri sekiranya terkena simptom seperti demam selepas vaksin.

“Bagi saya, perkara itu adalah biasa. Sama sahaja jika kita mengambil apa-apa vaksin seperti vaksin untuk ke luar negara.

“Sekiranya mengalami demam, sengal dan sebagainya, itu adalah tanda sistem imun kita sedang memberi tindak balas.

“Cuma sebelum jalani vaksin, dapatkan nasihat daripada doktor peribadi terlebih dahulu.”

Dalam pada itu, Elfira juga sempat gambarnya yang baru lepas disuntik vaksin di Instagram miliknya dengan hasrat dapat membuatkan lebih ramai orang di luar sana yang masih belum mendaftar agar bersikap lebih terbuka dengan pengambilan vaksin.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN