Kekuatan Jantung Sekitar 30 Peratus, Ebby Yus Redha Jika Jantung Perlu Dipasang Bateri

Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, berkata beliau kini redha andai perlu jantungnya dipasangkan dengan bateri, seperti yang disarankan doktor.

kekuatan jantung sekitar 30 peratus, ebby yus redha jika jantung perlu dipasang bateri

Pelakon dan pelawak tanah air ini berkata, beliau turut berdepan dengan pelbagai komplikasi penyakit lain, dan segala keputusan berkenaan itu akan diketahui Oktober depan.

 

Ebby Yus yang menjalani rawatan pemeriksaan kesihatan di Pusat Jantung Hospital Serdang berkata, kekuatan jantungnya kini hanya sekitar 30 peratus sahaja.

 

“Kes jantung saya dirujuk ke Hospital Serdang. Saya ada temu janji dengan doktor, bulan depan. Keputusan sama ada perlu pasang bateri ataupun tidak pada jantung, semuanya bergantung kepada hasil ujian kesihatan yang bakal dijalankan.

“Berdasarkan penjelasan doktor, kekuatan jantung saya sekitar 27 peratus sahaja. Bagaimanapun, selepas menjalani rawatan alternatif sejak Ramadan lalu, kekuatan jantung saya meningkat kepada lebih 30 peratus.

“Apapun, saya kena tunggu keputusan pemeriksaan kesihatan pada Oktober ini. Kalau perlu pasang bateri pada jantung, saya reda,” katanya.

kekuatan jantung sekitar 30 peratus, ebby yus redha jika jantung perlu dipasang bateri

Dalam pada itu, pelawak kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan ini turut memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan membuang selaput pada mata yang menjejaskan penglihatannya.

 

“Sebenarnya saya mengalami masalah penglihatan kabur di kedua-dua mata. Sepatutnya pembedahan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun disebabkan ramai menunggu giliran, saya bercadang untuk membawa kes mata ini ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

“Setakat ini, belum ada sebarang tarikh lagi. Bagaimanapun, doktor ada maklumkan kos pembedahan sekitar RM600. Keadaan mata saya sangat teruk kerana ia menyukarkan saya membaca.

 

“Saya juga tak berani nak terima tawaran kerja luar disebabkan masalah mata.

“Bila buat penggambaran di luar, mata saya cepat silau hingga boleh menyebabkan masalah pening dan pitam,” kongsi beliau.

 

Meskipun dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Ebby Yus berkata beliau perlu bekerja untuk meneruskan kehidupan meskipun tidak seaktif dahulu.

 

“Saya masih bekerja macam biasa. Cuma saya bekerja mengikut kemampuan diri. Tak bolehlah nak terlalu aktif seperti zaman sihat dahulu. Sekarang kebanyakan ‘job’ saya membabitkan dalam studio sahaja.

“Saya juga tak berani nak ambil tawaran kerja luar disebabkan masalah penglihatan kerana enggan menyusahkan sesiapa,” jelasnya.

 

Terdahulu, Ebby Yus pernah dimasukkan ke ICU di Hospital Kuala Lumpur selama beberapa hari kerana mengalami masalah jantung dan juga buah pinggang rosak.

 

Sumber: Murai