Dua rakyat Malaysia yang dibawa pulang oleh pihak kerajaan telah disahkan positif novel koronavirus. Perkara tersebut telah disah dan dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Penambahan dua kes tersebut menjadikan sebanyak 12 kes virus ini telah dilaporkan di seluruh negara dan tiga daripadanya adalah rakyat Malaysia. Kedua-dua pesakit itu merupakan antara 105 individu yang telah dibawa keluar oleh pihak kerajaan dari wilayah Wuhan, China pada 4 Februari yang lalu.
Menteri Kesihatan juga memaklumkan dua beranak tersebut sedang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja’far. Lebih 100 individu yang lain pula yang telah disahkan negetif daripada virus itu tetap berada dalam pemantauan selama 14 hari.
“Sehubungan itu, dari 10 Januari 2020 sehingga 5 Februari 2020 jam 10 pagi, jumlah kumulatif kes PUI (pengesanan kes yang disyaki) jangkitan 2019-nCoV adalah 257 orang, di mana 161 adalah warganegara Malaysia, 91 warga China dan masing-masing satu warganegara Australia, Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.
“Lima kes telah disahkan positif 2019-nCoV , 235 negatif, dan 17 kes masih menunggu keputusan makmal,” kata Menteri Kesihatan dalam satu sidang media di kementeriannya.
Sumber: Astro Awani