Drama No.1 Di Astro Prima Tahun Ini, ‘Dendam Seorang Isteri’ Kini Episod Akhir

Susulan dengan kejayaan dan sambutan yang hangat daripada penonton, pihak Astro bersama Radius One Sdn Bhd telah menganjurkan majlis tontonan episod-episod kemuncak drama ‘Dendam Seorang Isteri’ serta sesi ‘Meet & Greet’ bersama para peminat.

.

Majlis diserikan dengan kehadiran barisan pelakon utama seperti Fasha Sandha, Nad Zainal, Aidit Noh dan Wan Raja.

drama no.1 di astro prima tahun ini, ‘dendam seorang isteri’ kini episod akhir

Drama yang mengangkat tema ‘women empowerment’ mendapat sambutan ramai itu telah menjadi drama nombor satu di saluran Astro Prima untuk tahun 2022 dengan lebih 5.5 juta tontonan, melebihi sasaran yang ditetapkan.

.

Selain di saluran Astro Prima, drama ‘Dendam Seorang Isteri’ turut mendapat sambutan yang menggalakkan di platform penstriman Astro apabila turut tersenarai sebagai ‘Top 10 programmes’ di aplikasi Astro GO dan On Demand selama 4 bulan berturut-turut dari Mac hingga Jun 2022 dengan jumlah masa yang dipertontonkan sebanyak 150 juta minit dan jumlah tontonan sebanyak 4.2 juta tontonan di Astro GO dan On Demand.

.

‘Dendam Seorang Isteri’ bakal berakhir dengan episod kemuncaknya yang penuh dengan plot-plot tersirat dan babak-babak yang akan merongkai pergelutan antara watak utama, Amira dan Kirana.

Persoalan yang sering ditanya-tanya oleh peminat akan terjawab dalam episod akhir ‘Dendam Seorang Isteri’ yang bakal ditayangkan pada hari Jumaat, jam 6.00 petang, 15 Julai 2022. Drama ini telah pun bersiaran selama 17 minggu pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 21 Mac 2022 secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.