Berita gembira buat semua pelanggan Astro! Astro mengumumkan pelantikannya oleh The Walt Disney Company sebagai pengedar rasmi untuk perkhidmatan penstriman yang dinantikan iaitu Disney+ Hotstar, di Malaysia yang akan dilancarkan pada 1 Jun 2021.
Menerusinya, pelanggan Astro boleh strim lebih daripada 800 filem dan 18,000 kandungan episod Disney yang menakjubkan pada aplikasi Disney+ Hotstar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, “Kami gembira dapat menjadi pengedar rasmi Disney+ Hotstar di Malaysia dan akan mengagregasikan lebih banyak kandungan bertaraf dunia di platform kami. Tidak lama lagi, pelanggan dapat menikmati kandungan hebat dari Disney+ Hotstar, tambahan kepada kandungan terbaik Astro, kandungan tempatan, karya asli yang memenangi anugerah, dan kandungan sukan yang tiada tandingannya, yang menjadikan kami destinasi hiburan yang tidak disangkal lagi oleh rakyat Malaysia.”
Menurutnya lagi, pelanggan ‘Movies Pack’ boleh strim hiburan bertaraf dunia di Disney+ Hotstar hanya dengan tambahan RM5 sebulan, sementara pelanggan selain ‘Movies Pack’ juga boleh menikmati Disney+ Hotstar melalui ‘bundle' nilai menarik yang lain.
“Ini adalah permulaan yang baik untuk tahun penuh aksi di mana kami akan mengagregasikan perkhidmatan penstriman langganan video ‘on demand’ (SVOD), memberikan pelanggan kami pelbagai jenis hiburan untuk dipilih, yang memberi nilai dan kemudahan,” katanya.
David Shin, Pengurus Besar, The Walt Disney Company di Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara, berkata, “Kami teruja untuk melancarkan Disney+ Hotstar kepada para pengguna di Malaysia dan juga bekerjasama rapat dengan Astro untuk memberikan hiburan yang terbaik. Dari kandungan klasik Disney yang ikonik, hinggakan siri Disney+ Original yang baharu, kandungan terbaik dari pengarah Malaysia, pembuat filem dan pelakon-pelakon serta siri dan filem Asia, pastinya ada sesuatu untuk dinikmati oleh semua peringkat umur.”
Disney+ Hotstar adalah salah satu destinasi penstriman untuk kandungan global dan Malaysia. Ia menyatukan filem-filem pecah panggung Hollywood dan kandungan yang memenangi anugerah dari Disney, Marvel, Star Wars, Pixar, National Geographic, FX, 20th Century Studios dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, pelanggan juga berpeluang menyaksikan tayangan perdana eksklusif dan tayangan pecah panggung termasuklah juga siri seperti The Mandalorian, WandaVision dan The Falcon and The Winter Soldier dan filem-filem seperti Avengers: Endgame, Aladdin dan Frozen 2.
Tambah lagi, Disney+ Hotstar juga akan menampilkan simpanan kandungan yang luas untuk penerbitan pawagam Malaysia yang telah memenangi pelbagai anugerah, dan kandungan hebat tempatan seperti J2: J Retribusi, Zombitopia, Ada Hantu, Ejen Ali, Upin & Ipin dan banyak lagi.
Mulai 4 Mei, pelanggan Astro sudah boleh mula mendaftar untuk mendapatkan ‘Movies Pack’ yang disertakan dengan Disney+ Hotstar pada 1 Jun melalui WhatsApp +603-95433838, Saluran 200, astro.com.my/Disney dan juga menerusi pengedar dan pembekal yang sah.