Pelakon dan penyanyi, Didi Astillah baru-baru ini telah menerima ugutan menggunakan foto sebilah pisau pemotong selain dihambur dengan kata-kata kesat oleh individu tidak dikenali.
Menurut individu terbabit, beliau menuduh pemilik nama sebenar Dayang Nazilah Awang Astillah sebagai perampas dan menjalin hubungan dengan seorang lelaki bernama Aiman Aziz yang didakwa kekasihnya.
Kata Didi, Aiman itu merupakan rakan baiknya dan dia hanya hadir majlis pernikahan lelaki itu tiga hari lalu.
“Wanita itu fikir saya yang bernikah dengan Aiman sedangkan saya cuma menghadiri majlis pernikahannya.
“Awalnya saya tidak sedar mesej tersebut, tetapi disebabkan wanita itu tidak berhenti-henti mengirim, barulah saya baca dan terkejut dengan ugutan yang diterima,” katanya dalam satu perkongsian menerusi Instagramnya semalam.
Ekoran daripada itu, Didi mengambil keputusan membuat satu laporan polis di Balai Polis Ampang kerana bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Saya ada simpan bukti antaranya dua keping gambar wanita tersebut dan tangkap layar mesej ugutan yang dihantar.
“Kalau ikutkan semalam lagi nak buat laporan, tapi disebabkan terlalu sibuk dengan penggambaran, saya lakukan hari ini,” katanya.