Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai khususnya peniaga supaya tidak menggunakan paku atau bahan seumpamanya bagi membungkus makanan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mana-mana individu yang ingkar atas arahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang dibawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, yang mana adalah satu kesalahan bagi sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan.
Mereka yang bersalah boleh didakwa di mahkamah serta dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Hukuman yang lebih berat itu boleh dikenakan kepada peniaga sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.
“KKM mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial serta pandangan pelbagai pihak yang khuatir terhadap kaedah pembungkusan makanan yang tidak selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, masa kini terdapat banyak kaedah pembungkusan makanan yang lebih baik dan selamat, berbanding dengan penggunaan paku atau bahan lain yang berbahaya dan tidak sepatutnya berlaku.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa agar memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan.
Sumber: [1]