Daniella Sya atau nama sebenarnya Sya Yeng Yeng, 35, mengakui kini sedang berbahagia menyulam cinta bersama seorang jejaka Melayu yang berjaya menambat hatinya.
Menurut Daniella, meskipun baru menjalinkan hubungan istimewa, mereka sudah pun mula bercakap soal perkahwinan, namun Daniella masih belum bersedia menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat.
“Hubungan kami masih baharu dan dia bukan seorang selebriti. Kami pernah bercakap tentang perkahwinan namun saya sendiri belum bersedia ke arah itu.
“Apa yang buat saya terpikat adalah kerana sifatnya yang sopan, tutur katanya lemah lembut dan dia seorang yang penyabar,” kata beliau.
Daniella dalam pada lain kini memegang watak utama sebagai seorang mualaf dalam sebuah drama terbitan Astro berjudul Hijrah Jannah, yang akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai 5 Jun 2023, jam 6.00 petang secara eksklusif di saluran Astro Ria (104).
Baca: Kisah Poligami & Wanita Mualaf Dalam Drama Terbaharu di Astro, Hijrah Jannah
Ujarnya, meskipun beliau mempunyai keluarga berbangsa Cina dan beragama Buddha, ia tidak menghalang minatnya untuk membawa pelbagai watak dalam dunia lakonan.
Terdahulu, Daniella berkata beliau sudah biasa dengan kecaman ramai pihak kerana tampil dengan imej seksi disebabkan masih ada pihak yang tidak mengetahui latar belakang dirinya yang sebenar.
Meskipun katanya dia lebih selesa untuk menjadi diri sendiri dan tidak mahu mengikut kehendak ramai, dia akan lebih berhati-hati berkongsi gambar khasnya di media sosial.
“Kalau saya hendak berhati-hati tentang perkongsian di media sosial lebih baik ia dilakukan dalam kehidupan sebenar juga.
“Kalau sekarang saya tak berkongsi gambar seksi, siapa tahu suatu hari nanti sebaliknya pula akan berlaku.
“Jadi apa yang penting adalah kena diri sendiri,” katanya.
Sumber: Mstar