Penyanyi jelita, Daiyan Trisha memilih untuk tidak membuka lebih-lebih mengenai status hubungannya bersama pelakon Aedy Ashraf.
Menurut Daiyan, dia dan Aedy telah lama mengenali satu sama lain iaitu sejak mereka terlibat dalam drama Project: Anchor SPM lagi.
“Bab hubungan istimewa itu no comment (tiada komen),” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi tiket konsert Coldplay di Coldplay di Stadium Wembley, London, England yang dihadiri mereka baru-baru ini adalah hadiah istimewa daripada Aedy buat dirinya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-28.
“Saya baru pulang dari New York dan London. Ketika berada di London, saya berpeluang menonton konsert kumpulan kegemaran saya, Coldplay.
“Memang satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Tambahan pula, tiket untuk konsert itu diberikan oleh Aedy sebagai hadiah hari lahir saya sejak tahun lepas lagi.
“Jadi, saya dan Aedy ambil keputusan untuk pergi berdua menonton konsert berkenaan,” jelasnya.
Terdahulu, nama Daiyan dan Aedy mencuri tumpuan ramai selepas mereka dilihat hadir bersama ke konsert kumpulan ternama dunia, Coldplay di luar negara.
Rata-ratanya, ramai yang berteka-teki mengenai hubungan mereka. Tambahan pula, Aedy yang sebelum ini pernah dikaitkan bersama pelakon Amelia Henderson.
Sumber: Kosmo