‘Bukan Guna Kabel Untuk Berlakon Filem’ - Dafi Harap Orang Jangan Salah Anggap

Bekas bintang Akademi Fantasia musim ke-5, Dafi Ismail menafikan dakwaan yang dia diambil berlakon dalam filem terbaru, Malbatt Misi Bakara kerana statusnya sebagai anak Perdana Menteri.

‘bukan guna kabel untuk berlakon filem’ - dafi harap orang jangan salah anggap

Kata Dafi, dia sudah lama berkongsi hubungan baik dengan pengarah filem terbabit, Adrian Teh selepas bekerjasama dalam filem Ada Hantu yang dikeluarkan pada 2021.

“Kami pernah bekerjasama dalam filem Ada Hantu dan ia merupakan projek pertama saya bersama Adrian. Hubungan baik itu sudah ada dan mungkin dia lihat kesesuaian watak, jadi saya ditawarkan berlakon dalam filem terbarunya.

“Dia percaya saya boleh memberikan komitmen penuh dan itu yang membuatkan Adrian memberikan tawaran ini,” ujarnya.

Selain itu, Dafi turut menjelaskan yang dia tidak ‘demand’ untuk diberikan layanan istimewa hanya kerana statusnya itu.

“Saya harap orang tidak salah anggap. Saya tidak pernah rasa diri ini mempunyai keistimewaan hanya kerana saya anak Perdana Menteri. Saya pun tidak minta diberikan layanan istimewa.

“Tetapi, jika ada pihak yang memberikan layanan yang baik, saya bersyukur.  Orang nak beri layanan baik, takkan kita nak tolak. Saya lebih suka melihat perkara ini dari sudut positif,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dafi kini terlibat dalam sebuah filem blockbuster, Malbatt Misi Bakara yang bakal dikeluarkan menjelang Ogos tahun depan.

Ia dikatakan filem termahal negara berikutan kos pembuatan yang menelan belanja hingga RM20 juta.

Turut membintangi  Malbatt Misi Bakara termasuk pelakon popular lain seperti Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly dan Shaheizy Sam.

 

Sumber: Utusan

ARTIKEL BERKAITAN