Curi Identiti Orang Lain Buat Daftar Vaksin, 4 Individu Ditahan Polis

Empat individu ditahan kerana dipercayai menggunakan identiti orang lain bagi pendaftaran vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

curi identiti orang lain buat daftar vaksin, 4 individu ditahan polis

Difahamkan salah seorang daripada mereka merupakan lelaki warga tempatan sementara tiga lain ialah wanita warga asing.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Supt E Sundra Rajan, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun, dan ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bandar Hilir, Melaka pada Rabu lalu.

Lanjutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang wanita warga asing berusia 30 tahun yang ditahan ketika hadir mendapatkan dos kedua vaksin COVID-19 di sebuah klinik di Bandar Hilir.

“Semakan yang dilakukan ke atas aplikasi MySejahtera yang digunakan suspek mendapati maklumat identiti yang didaftarkan di aplikasi itu adalah milik individu lain.

“Polis turut merampas kad vaksin atas nama suspek, i-kad warga asing yang dipercayai palsu, salinan pasport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit yang digunakan suspek,” katanya.

Sementara itu, dua lagi wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan di sebuah rumah di Bandar Hilir pada hari sama.

Kesemua suspek berkenaan direman hingga Jumaat ini bagi membantu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kemungkinan terlibat dalam sindiket penipuan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Selain itu, Sundra turut memaklumkan bahawa tiga wanita warga asing itu juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Pihak polis memandang serius segala aktiviti penyalahgunaan identiti individu lain dalam MySejahtera bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

 

Sumber: [1]