Nama Cupcake Aisyah telah menjadi perhatian ramai warganet sejak hujung minggu lalu, gara-gara dakwaan kononnya beliau menjalin hubungan dengan bekas kekasih sahabat baiknya sendiri.
Namun pemilik nama sebenar Nur Aisyah Muhammad Razip, 24, berkata, beliau tidak pun bercinta dengan bekas kekasih Leona yang dikenali sebagai Ryan, sebaliknya hanya kawan baik.
Katanya, hubungan mereka mula menjadi akrab selepas Leona dan Ryan berpisah dan dia sering mendengar masalah hubungan kedua-dua mereka.
“Hai semua, agak senyap baru-baru ini kerana saya pada mulanya merancang untuk berehat panjang dari media sosial.
“Walau bagaimanapun, disebabkan peristiwa baru-baru ini, saya fikir saya akan datang ke sini untuk menjelaskan beberapa perkara dari pihak saya kerana ia telah menjadi luar kawalan, sehingga menyerang ahli keluarga saya.
“Pertama sekali, saya tidak pernah menjalinkan hubungan dengannya (Ryan). Saya pertama kali bertemu dengannya pada awal 2022 melalui hubungan mereka. Kami bertiga menjadi kawan baik yang menyokong satu sama lain dalam perniagaan, media sosial dan kehidupan secara umum tetapi saya mahu jelaskan bahawa saya tiada niat naik sepanjang perhubungan mereka,” kata beliau menerusi hantaran di Instagram.
Tambah lagi, beliau turut menjelaskan mengenai isu jam tangan berjenama Rolex yang dipakaikan lelaki itu pada tangannya, seperti yang tular dalam satu video.
“Ramai salah anggap menyangka kami sedang menjalinkan hubungan cinta. Untuk pengetahuan semua, keluarga saya turut berada disitu dan ia turut dipaparkan menerusi video tersebut.
“Tiada niat lain melainkan saya tak pernah memakai jam tangan mewah sebelum ini jadi saya rasa tak salah untuk saya minta tolong daripadanya,” kata beliau.
Aisyah dengan hati terbuka memohon maaf kepada Leona dan berharap kenyataannya itu dapat menjelaskan apa yang berlaku, khususnya tentang hubungannya bersama bekas kekasih kawan baiknya sendiri.
Terdahulu, Leona atau nama sebenarnya Kasih Iris Leona Hairi Azhar, 22, meluahkan rasa sedih selepas mendapat tahu bekas teman lelakinya, Ryan, sudah mempunyai kekasih baharu. Tambah mengecewakan, tempatnya itu diganti oleh wanita yang didakwa kawan baiknya sendiri.
Susulan itu, warganet memetik nama Cupcake Aisyah sebagai individu berkenaan, hingga menarik perhatian ramai warganet yang bertindak mengecam beliau di media sosial.
Baca: Kecoh Isu Sondol Ex-Boyfriend Kawan Baik, Warganet Kecam Cupcake Aisyah
Sumber: Instagram