Sejak kebelakangan ini, kerap sekali gambar dan video yang menunjukkan pelbagai pihak melanggar prosedur operasi standard (SOP) hingga mencetuskan amarah dalam kalangan orang ramai, tambah lagi ketika negara sedang bergelut dengan angka kes positif COVID-19 yang kian meningkat.
Namun, di sebalik penularan tersebut, majoriti rakyat Malaysia tetap kekal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, nak-nak lagi memang sudah menjadi norma baru dalam kehidupan harian sejak meledaknya wabak COVID-19 di negara ini bermula tahun lalu.
Pakar Kaunseling dan Motivasi bebas Hushim Salleh berpendapat bahawa pelanggaran SOP oleh segelintir rakyat berlaku kerana mereka telah melalui perintah kawalan pergerakan dalam tempoh yang panjang demikian menyebabkan mereka berasa terkongkong.
“Mereka mengalami keletihan pandemik hingga mencetuskan kesan psikologi dan emosi yang membawa pada tahap mereka sudah tidak kisah dengan situasi penularan wabak COVID-19 ini.
“Mereka bukan tidak tahu pasal angka jangkitan kes dan nasihat mengenai SOP kerana ia boleh diperoleh daripada telefon pintar masing-masing tapi keadaan sekarang adakalanya membawa kepada pemikiran yang tidak rasional,” ujarnya.
Terdahulu, Malaysia mencatatkan sebanyak 4,446 kes positif COVID-19 pada 17 Mei dengan jumlah tertinggi direkodkan dari negeri Selangor.
Sumber: [1]