Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, buat mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19.
Bukan sahaja ahli keluarga tidak dapat menatap wajah jenazah buat kali terakhir, malah mereka juga terpaksa menaruh kepercayaan sepenuh terhadap pasukan perubatan dalam mengendalikan upacara pengebumian.
Bagi Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yus, setiap kematian yang disebabkan oleh COVID-19 merupakan sesuatu yang amat menyayat hati.
Apabila disahkan positif COVID-19, kesemua pesakit ini terus keseorangan di dalam wad, kerana ahli keluarga tidak dibenarkan untuk melawat apatah lagi menemani mereka.
“Apabila meninggal, mereka juga keseorangan kerana bukan ahli keluarga yang menguruskan mereka sebaliknya disempurnakan oleh petugas kesihatan dan agensi lain.
“Apabila insiden itu berlaku, ahli keluarga hanya mampu melihat sayu dari kejauhan, sama ada mereka sendiri sedang dikuarantin di Pusat Kuarantin atau sedang dirawat sebagai pesakit COVID-19,”
Dalam pada itu, Nor Azimi turut berkongsi mengenai dua kes kematian terbaru akibat COVID-19 yang melibatkan dua lelaki dari daerah Besut pada Ahad lalu.
Menurutnya, salah seorang mangsa berusia 73 tahun manakala seorang lagi berusia 52 tahun.
Paling menyedihkan, ajal mereka hanya berselang dua jam iaitu ketika masing-masing sedang mendapatkan rawatan.
Tambahnya, “Majoriti warga tua hanya duduk di rumah, namun dari mana pula mereka mendapat jangkitan ini.”
Lantaran itu, Nor Azimi mengingatkan penduduk di Besut agar kekal duduk di rumah sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan penting di luar, selain patuhi arahan pihak berkuasa dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Sumber: [1]