COVID-19: 60% Penduduk Malaysia Dijangka Selesai Terima Vaksin Menjelang Penghujung September

Sebanyak 60% penduduk Malaysia dijangkakan sudah menerima vaksin menjelang penghujung September tahun ini.

covid-19: 60% penduduk malaysia dijangka selesai terima vaksin menjelang penghujung september

Sehubungan dengan itu, sejumlah 4.08 juta individu yang bersamaan dengan kira-kira 12.5% daripada populasi negara ini difahamkan telah menerima vaksin setakat 19 Jun lalu, dengan 1.58 juta daripada jumlah terbabit telah selesai menerima dua dos penuh.

Perkara tersebut dikongsikan Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kerajaan yakin untuk menyuntik 11 juta dos pada Julai, 13 juta dos menjelang akhir Ogos dan tambahan lapan juta dos menjelang akhir September.

“Dengan ini, kerajaan menyasar untuk mendapatkan 60% populasi divaksin menjelang akhir September ini,” katanya.

Tambahnya lagi, untuk mempercepatkan lagi proses vaksinasi, kerajaan juga sedang giat meningkatkan penubuhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kami menyasarkan 1,000 doktor swasta untuk mula memberikan vaksin pada akhir bulan ini dan bulan depan, ketika kerajaan terus meningkatkan jumlah pusat vaksinasi.

“Kerajaan akan turut membawa masuk pekerja kesihatan yang bersara, pelajar perubatan dan yang sedang dalam latihan, untuk meningkatkan bilangan tenaga kerja kami.

“Sebagai tambahan, kami sekarang telah mengaktifkan unit mudah alih untuk memvaksinasi mereka yang mempunyai masalah mobiliti. Matlamat kami adalah untuk menjadi seinklusif yang boleh dalam usaha melaksanakan program vaksinasi ini,” jelasnya.

 

Sumber: [1]