Alina Hassan Sanggup Gadai Cincin Emas Untuk Deposit Tunai Umrah

Sempena Ramadan tahun ini, penyanyi Alina Hassan bersyukur dan bertuah apabila dipilih menjadi tetamu Allah bagi mengerjakan ibadah umrah selama 50 hari.

alina hassan sanggup gadai cincin emas untuk deposit tunai umrah

Alina, 56, berkata, biarpun perlu mengumpul duit dan bekerja keras bagi membayar kos RM13,999, segalanya dipermudahkan Allah SWT.

 

Malah, Alina yang juga juara program Sinaran Passport Kegemilangan 1996 berkongsi yang dia terpaksa 'menyimpan' dua cincin emas miliknya sebagai pembayaran pendahuluan.

 

"Sehari sebelum pergi hati dan pandangan saya sudah di sana. Tak sangka Allah akan jemput saya lagi. Bila pegawai pemasaran travel umrah kata kos mencecah RM14,000 untuk 50 hari, saya cakap mahal. Dia kata boleh bayar deposit dulu, jadi saya terus kata okay.

"Pada masa itu saya tak ada duit lagi, jadi saya bagi dua cincin emas saya sebagai deposit. Selepas itu saya kuatkan semangat, saya bekerja dan ambil tawaran persembahan di sana sini. Malah, saya pandu sendiri, sebab nak jimat dan bayaran itu lebih. 

"Alhamdulillah, dapat banyak 'show' dan saya tambah sedikit demi sedikit bayaran kos umrah," katanya pada SYOK Podcast Confession Bilik Gelap episod lima.

alina hassan sanggup gadai cincin emas untuk deposit tunai umrah

Menurutnya, dia juga bersyukur apabila banyak undangan nyanyian diterima selepas video busking di Bukit Bintang menjadi tular.

 

"Selepas itu tular pula video saya busking di Bukit Bintang. Dari situ dapat lagi banyak 'show'. Ini semua Allah yang atur. Saya memang tak sangka, kita hanya tanam niat saja. Insya-Allah, Allah pilih dan permudahkan.

 

"Setiap kali duit 'show', saya akan bayar sedikit demi sedikit sampai cukup. Pada masa sama, saya buat sesi siarang langsung di TikTok. Apabila dapat 'gift' saya masukkan dalam akaun dan bayar lagi. 

"Alhamdulillah, dua hari sebelum ke umrah baru cukup. Ada juga hamba Allah yang bantu," katanya yang berlepas menunaikan umrah pada 27 Februari lalu.

 

Berkongsi lanjut, Alina berkata dia memilih untuk bermusafir selama 50 hari kerana memikirkan jika ini adalah Ramadan terakhir buat dirinya.

 

"Kenapa 50 hari, sebab tak tahu mungkin ini Ramadan terakhir saya. Ini saja yang saya fikir. Itu yang Allah permudahkan semua, dan sebab itu saya cakap kena pergi juga," katanya.

 

Selain memenuhi jemputan menyanyi, Alina juga bekerja secara sambilan dengan buskin di sebuah Scottage Cafe di Wangsa Melawati.