'Cinta Hilang Kata', Sarat Dengan Emosi

Perasaan cemburu, cinta yang tidak kesampaian,  perkahwinan yang penuh pancaroba serta kesanggupan menggunakan ilmu hitam dan santau untuk merealisasikan kehendak  merupakan titik utama yang diketengahkan dalam penceritaan drama terkini Astro Prima berjudul ‘Cinta Hilang Kata’. Drama terbitan Country & Universal Sdn. Bhd. serta  menampilkan Jalena Rejab selaku penerbit ini memaparkan kisah kehidupan seorang penulis  terkenal yang menjadi malang akibat perasaan cemburu dan dengki akan perkahwinan dan kerjayanya.

'cinta hilang kata', sarat dengan emosi

Penceritaan menerusi 40 episod ini mengisahkan kehidupan Nurul Masmin yang dikenali ramai ketika di univesiti sebagai seorang pengarang yang berbakat besar. Dia sering disokong oleh teman lelakinya, Rain Akhtar. Namun, kehidupannya menjadi tunggang-langgang apabila dia mengahwini Amirul demi mengikuti hasrat ibunya yang dipujuk oleh Jah Gayah, seorang pengasuh yang juga merupakan ibu kepada Amirul yang hanya mahukan kekayaan keluarga Nurul Masmin. 

Perkahwinan Nurul Masmin sering dicabar apabila Sabirah – pesaingnya di universiti dan dunia penulisan yang terus menggoda Amirul demi mahu merosakkan rumah tangganya. Dia juga sering dijampi ibu mertuanya sendiri kerana mahukan hartanya. Kehidupan Nurul Masmin yang dahulunya indah  kini persis mimpi ngeri.

Drama yang juga menyelit isu-isu kekeluargaan yang hancur serta perampasan harta benda yakni menceritakan realiti sesetengah masyarakat ini mengangkat heroin muda Sophia Albarakbah serta pelakon berpengalaman seperti Shahz Jaszle yang kembali ke layar televisyen sebagai hero dan Iqram Dinzly yang diberi tugasan membawakan watak antagonis utama dalam drama Astro Prima.

Drama ‘Cinta Hilang Kata’ merupakan arahan sutradara yang disegani ramai, Kyoll Hamzah dan turut didukung oleh barisan pelakon yang hebat seperti Liza Abdullah, Nelissa Nizam serta  Hariz Hamdan. 

‘Cinta Hilang Kata’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 18 Julai 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.