Anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish mengakui kini sedang berkawan dengan kakak kepada pelakon Emma Maembong iaitu Shikin Maembong.
Menurut Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, beliau mengenali Shikin ketika terlibat dalam karnival jualan Aidilfitri.
“Kami mula akrab pada penghujung Ramadan lalu ketika berniaga di karnival.
“Ia bermula daripada anak sulung, Nia Karlyssa yang rapat dan serasi dengan anak perempuan Shikin, Arianna.
“Nia turut menerima kehadiran Shikin, itu yang membuatkan saya terpikat dan ingin mengenalinya dengan lebih rapat lagi,” katanya.
Cat yang baru sahaja bercerai buat kali kedua pada Januari lalu menyatakan bahawa beliau tidak mahu main-main dan ingin membawa hubungan mereka ke peringkat yang lebih serius.
"Dalam beberapa tahun lagi, saya akan mencapai umur 50 tahun, jadi saya tidak lagi muda untuk bercinta dalam jangka masa yang lama.
“Oleh itu, saya akan berjumpa dengan keluarga Shikin untuk melamarnya.
“Setelah keluarga bersetuju, kami akan membawa hubungan kami ke tahap yang lebih serius. Kami tidak mahu melakukan dosa dan tidak mahu orang lain menuduh kami berbuat dosa," katanya.
Sebelum ini, Cat telah berkahwin dengan Hartiny Ramli dan bercerai pada April 2016. Pasangan ini dikurniakan tiga anak, iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13, dan Qul Iskandar, 12.
Cat kemudian berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020, tetapi mereka akhirnya bercerai pada Januari lalu. Pasangan ini tidak dikurniakan anak untuk perkahwinan itu.
Sumber: Boom! Malaysia