Sesiapa sahaja yang pernah melayani kartun Detektif Conan versi alih suara dalam Bahasa Melayu, pastinya cukup mengenali akan suara yang melakonkan sebagai watak animasi penyiasatan terkenal itu.
Gerangan berbakat itu dikenali sebagai Zairani Sarbini dan pada 9 Ogos lalu, bintang alih suara itu menghembuskan nafas terakhirnya di samping keluarga di kediaman yang terletak di Damansara Damai.
Allahyarhamah pergi di usia 48 tahun akibat menderita kanser serviks.
Memetik laporan akhbar tempatan, suami kepada Allahyarhamah iaitu, Shamsul Cairel, 48, mengatakan kesihatan arwah semakin merosot seminggu sebelum pemergiannya, dan tidak sempat menjalani kemoterapi di Institut Kanser Negara, serta hanya meneruskan rawatan di rumah.
“Saya meminta sesiapa yang mengenali arwah minta doakan dan maafkan kesalahan arwah. Jika ada sebarang urusan dengan arwah yang masih belum sempat ditunaikan arwah, datanglah temui saya,” katanya.
Shamsul menyifatkan arwah isterinya sebagai seorang yang ceria, gemar bergurau dan suka membantu mereka dalam kesusahan.
Kongsi Shamsul, ramai pihak terutama ahli keluarga arwah isteri termasuk rakan-rakan artis alih suara menyatakan kekesalan mereka kerana tidak dapat ‘menemui’ arwah untuk kali terakhir berikutan sekatan pergerakan yang dilaksanakan.
Tidak ketinggalan, Shamsul juga akui terharu terhadap keprihatinan yang ditunjukkan rakan-rakan arwah termasuk pelakon Datuk Jalaluddin Hassan yang selalu bertanyakan khabar mengenai arwah semenjak mengetahuinya menderita penyakit kanser.
Jenazah Allahyarhamah Zairani telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah, Gombak, Selangor sehari selepas pemergiannya.
Sumber: [1]