Pelakon, Sophia Albarakbah mengesahkan hubungannya bersama jejaka yang dikenali sebagai Mr Doktor sudahpun berakhir.
Menurut laporan, Sophia mengesahkan hubungannya bersama jejaka itu sudah berakhir selepas hampir dua tahun menjalinkan cinta.
Bagaimanapun katanya dia dan bekas kekasihnya itu masih berhubung baik dan kini dia mahu memberikan fokus pada kariernya.
“Saya enggan ulas banyak soal perpisahan ini kerana kurang gemar berkongsi kehidupan peribadi kepada umum.
“Walaupun sudah berpisah, hubungan kami baik sebagai kawan. Selama ini saya susah rasa suka atau selesa dengan seseorang. Bila saya sayangkan seseorang itu, saya akan berikan sepenuh perhatian.
“Sebab itulah, saya dah tak mahu fikir soal cinta lagi selepas ini. Biarlah saya fokus dengan kerjaya seni saya sahaja,” katanya.
Sophia dalam pada itu mengakui ada mengalami penurunan berat badan dek kerana hubungannya yang terputus itu.
“Putus cinta pun salah satu faktor kerana saya kurang selera makan, tetapi mungkin sebab saya amalkan diet juga. Jujurnya saya pun tak perasan saya dah kurus sehinggalah ada kawan-kawan yang tegur,” katanya.
Sumber: HMetro