Pelakon dan penyanyi tanah air, Bella Astillah dimasukkan ke wad selepas mengalami sakit kepala yang teruk. Menurut laporan Harian Metro, Bella berkata hasil pemeriksaan Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) mendapati terdapat cecair pada bahagian dahi kanannya.

"Saya tidak pernah mengalami migrain atau sakit kepala seteruk ini. Selalunya kalau jatuh sakit saya akan cuba bertahan, tapi ini memang sudah tak boleh nak lawan hingga terpaksa ke hospital.
"Doktor memaklumkan saya mungkin menghadapi masalah sinus tapi ketika buat ujian MRI, ada cecair yang menghalang di bahagian kanan dahi saya.
"Saya kini bergantung dengan ubat tahan sakit dan doktor tidak menyarankan saya melakukan pembedahan kerana baru kali pertama berdepan masalah seumpama ini," katanya.

Tambah Bella lagi, dia dan suaminya yang juga merupakan pelakon dan penyanyi, Aliff Azizi kini mengambil tugas menjaga dua orang anak mereka sepanjang Bella berada di hospital.
"Sepatutnya Alif ke Singapura untuk bertemu keluarganya hari ini tapi disebabkan saya masih di hospital, Aliff beritahu dia akan berada di rumah menjaga anak-anak. Tiket yang sudah dibeli pun 'hangus'.
Sumber: Harian Metro