Bekalan Air Dijangka Pulih Sepenuhnya 3 September, 12 Tengah Malam

Susulan gangguan bekalan air yang berlaku di wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putajaya dan juga Kuala Langat akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih sejak petang semalam, pihak Air Selangor memaklumkan bekalan air bersih sudahpun mula disalurkan bermula jam 7 pagi tadi.

bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 3 september, 12 tengah malam

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Air Selangor, bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna di kesemua kawasan yang terjejas dengan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg. Semenyih).

 

Pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di  kesemua kawasan-kawasan yang terjejas. Bekalan air di kesemua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat – peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12.00 tengah malam, 3 September 2021.

 

Tambah lagi, keselamatan dan kualiti air yang disalurkan kepada orang ramai adalah menurut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Air terawat dari LRA Sg. Semenyih juga telah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada para pengguna.

 

Justeru bagi membantu pengguna dan premis yang terjejas, sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Para pengguna juga boleh merujuk Jadual Pelan Pemulihan yang terperinci di www.airselangor.com

 

Sumber: Air Selangor