Pelakon, Beego, rupanya telah bercerai dengan isterinya, Linda Hashim pada 27 Mac lalu, namun berjaya rujuk semula ketika masih dalam iddah pada 9 April lepas.
Linda, 39, atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim berkata, perceraian itu berlaku disebabkan tiada persefahaman selain kurang berkomunikasi.
"Perceraian kami bukan disebabkan oleh pihak ketiga. Begitu juga, bukan kerana masalah kewangan sebagaimana yang dihadapi oleh pasangan lain.
"Seperti yang saya katakan, kami menghadapi masalah persefahaman dalam komunikasi. Ia mungkin berpunca daripada banyak perkara yang masing-masing pendam di dalam hati sebelum ini," katanya.
Kedua pasangan itu sebelum ini hadir di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.
Beego pula berkata bahawa apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka adalah biasa dalam hubungan setiap pasangan suami dan isteri yang berkahwin.
"Saya percaya, setiap pasangan yang berkahwin pasti menghadapi ujian. Lima tahun pertama diuji dengan persefahaman dan untuk 10 tahun perkahwinan pula diuji dengan ujian yang lain.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami dapat berbaik semula dalam tempoh yang singkat dan dapat menyelamatkan rumah tangga kami semula demi perasaan kami dan anak-anak," kata Beego.
Beego juga menyatakan bahawa mereka tidak pernah berkongsi cerita mengenai kehidupan mereka di media sosial dan akui terkejut bahawa masalah rumah tangga dan perceraian mereka diketahui oleh media.
"Saya terkejut apabila kedatangan kami ke mahkamah pada pagi itu diketahui oleh media. Ini kerana saya cuba untuk menyembunyikan masalah rumah tangga kami kerana melihat banyak pasangan selebriti yang menghadapi masalah rumah tangga," katanya.
Terdahulu, Linda dan Beego telah mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.
Sumber: HMetro