Bermula hari ini, beberapa bangunan di Putrajaya dan juga Menara KL akan disinari dengan cahaya jingga dan biru, bersempena dengan warna tema Hari Kanser Sedunia yang disambut 4 Feb setiap tahun.
Usaha simbolik ini bukan hanya dilakukan di Malaysia, malah ia melibatkan beberapa mercu tanda lain di seluruh dunia.
Menurut laporan dari Astro Awani, Majlis Kanser Negara Malaysia (MAKNA) telah bergabung dengan Menara KL bersama beberapa bangunan di Putrajaya termasuk pejabat Perdana Menteri, Jambatan Seri Wawasan, Perbadanan Putrajaya, Istana Kehakiman dan Jambatan Seri Gemilang, untuk progam khas satu malam.
Lampu biru dan jingga ini akan mula dipasang hari ini, dengan Menara KL bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam dan Putrajaya bermula 7 petang sehingga 12 tengah malam.
Meskipun negara masih berada dibawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kempen kesedaran bagi Hari Kanser Sedunia ini perlu diteruskan secara atas talian, termasuklah mempromosikan kesedaran, pengesanan awal dan gaya hidup sihat.
Sumber: Astro Awani
Foto: Astro Awani & Sarawak Voice