Sering mendapat pelbagai perhatian, nama Baby Shima pasti sudah cukup dikenali di Malaysia malah kini sehingga ke negara jiran.
Pun begitu, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli ini lebih gemar untuk mengambil pendekatan menjadi diri sendiri dan meneruskan apa yang diminatinya untuk dimuatnaik di media sosial.
Katanya, apa yang dikongsikannya di media sosial bukan untuk menjadikan dirinya kekal relevan, sebaliknya dia melakukan perkara yang disukai di media sosial seperti menari.
"Bagi saya, laman sosial saya ini akan buat apa saja yang saya suka. Contohnya seperti saya suka menari, jadi saya menari saja. Saya rasa, saya menari macam biasa saja tapi orang lain kecam.
"Jadi bila muncul banyak kecaman itu, orang lain pun turut serta kecam. Dari situ saya tak pernah nak memuat naik apa-apa hanya untuk mengundang kecaman. Sebab saya 'enjoy' dengan apa yang saya buat," katanya.
Sebelum ini, Baby Shima pernah menerima kecaman disebabkan tarian dan aksi menghairahkan, merakamkan video bersama anjing dan mengenakan pakaian seksi.
Mengulas lanjut, Baby Shima merasakan pelik kerana ramai lagi selebriti yang berpakaian lebih menonjol, namun kenapa dirinya sahaja yang menjadi sasaran kecaman.
Sumber: HMetro