'Baby Shima Pernah Tolak Tawaran Bintangi Hutang 2D' - Eric Fuzi

Sering kali mencuri tumpuan orang ramai menerusi jalan-jalan cerita menarik dan unik yang ditampilkan dalam koleksi muzik video mereka, kini, Floor 88 muncul pula dengan filem pertama lakonan mereka bagi menghiburkan para peminat berjudul, Hutang 2D.

'baby shima pernah tolak tawaran bintangi hutang 2d' - eric fuzi

Akui Eric yang bermain papan nada dalam Floor 88, tajuk ‘Hutang’ itu sendiri membawa satu makna yang besar bagi kumpulan tersebut selain filem itu sendiri bersifat peribadi terhadap mereka.

“Kami sebagai Floor 88, ‘Hutang’ itu merupakan satu penjenamaan yang sangat bermakna buat kami. ‘Hutang’ membawa kami kepada satu fasa yang lain dalam industri, ia ibaratnya batu loncatan,” kata Eric ketika sidang media filem Hutang 2D.

“Kami semua sudah saling mengenali sesama sendiri, jadi ia merupakan satu kelebihan. Namun pada masa yang sama, agar mencabar juga kerana ini merupakan kali pertama Floor 88 muncul di skrin besar,” ujar Eric.

Tidak ketinggalan, Hutang 2D turut mengajak sama rakan-rakan artis lain yang pernah bekerjasama dengan mereka untuk memainkan teraju utama misalnya Baby Shima yang pernah berduet dalam “Roadblock Hatiku” dan Coki yang pernah membintangi muzik video “Chikadun”.

Tapi! Kongsi Eric, Baby Shima yang bergelar heroin dalam Hutang 2D pernah menolak tawaran untuk membintangi filem terbabit.

“Pada mulanya, Baby Shima menolak tawaran ini kerana dia tidak yakin untuk berlakon,” katanya.

“Tapi Eric tahu kemampuan Shima sebab dulu Eric pernah mengarahkan beberapa video muzik. Jadi Eric yakinkan juga dia. Kami dah bagi skrip seminggu sebelum dia akhirnya menolak.

Tapi selepas dua hari kemudian,  kami pujuk juga sehingga dia setuju. Bagi saya, dia bagi persembahan yang ‘natural’,” jelas Eric yang pernah mengarahkan muzik video “Hutang” dan “Chikadun”.

Berbicara pula mengenai Floor 88 yang telah dianggotainya sejak 2017, akui Eric, dia berasa senang kerana dapat melunaskan karya tersebut bersama dengan semua anggota kumpulan terbabit yang telah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Mungkin Floor 88 sering kelihatan seperti budak-budak, namun hakikatnya kami orang yang bekerja keras. Pernah sekali, kami tak tidur kerana berbincang di grup WhatsApp tentang cara yang perlu kami ambil untuk kekal dalam industri.

“Mereka macam adik-beradik saya. Biarpun ada empat orang abang yang lebih tua daripada saya, tapi semuanya saling menghormati. Walaupun saya mengarah, mereka masih boleh terima arahan saya dengan baik,” kata Eric yang turut mengarah Hutang 2D bersama Irwan Rauf.

Filem Hutang 2D merupakan sebuah filem komedi aksi dan fantasi, mengisahkan Ayie yang merupakan seorang pelukis webtoon.

Bagaimanapun, bapanya yang tidak mempunyai hubungan baik dengannya gemar berhutang sehingga menyebabkan keluarga mereka diburu penjahat.

Suatu hari Ayie dihadiahkan sebuah tablet ajaib oleh seorang lelaki misteri bernama Gua Mambang (Altimet) yang mana setiap satu lukisan yang dilukisnya bakal menjelma di dunia realiti dan menjadi nyata.

Filem Hutang 2D telah mula ditayangkan di Astro First sejak 5 Ogos 2021.

Ia turut menampilkan Floor 88, Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki.