Ahli kumpulan De Fam, Azira Shafinaz baru-baru ini nyaris pitam selepas persembahan pada program The Hardest Singing Show (THSS) kerana perut kosong.
Menurut Azira, pada ketika itu dia merasakan seluruh tubuhnya kebas selain mengalami sesak nafas.
“Di belakang tabir yang orang tak tahu, selepas temubual De Fam di belakang pentas, saya dah mula pening dan rasa macam tak cukup oksigen.
“Seluruh badan saya rasa kebas dan saya tak dapat bernafas dengan betul. Saya ingat saya dah nak pitam,” katanya.
Dalam pada itu, Azira juga turut berkongsi gambarnya sedang dirawat sekumpulan pasukan perubatan.
Azira akui kejadian ini terjadi disebabkan tidak mengalas perut sebelum membuat persembahan di atas pentas.
“Peringatan untuk diri sendiri, kena makan sebelum melakukan persembahan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo