Influencer popular, Azfar Heri, 24, akhirnya mengemukakan permohonan maaf selepas tidak semena-mena mencetuskan kontroversi berkenaan kacang lebih yang diterimanya ketika menaiki salah satu syarikat penerbangan nasional.
Menerusi hantaran di Twitter, Azfar menjelaskan dia bersedia untuk bekerjasama dengan pihak syarikat penerbangan terbabit bagi mengenal pasti situasi sebenar susulan timbul ura-ura yang mengatakan pramugari yang menghulurkan kacang lebih kepadanya itu telah dipecat.
“Saya faham ramai yang marah berkenaan isu kacang MAS. Ini adalah penjelasan saya. Saya ingin memberi sepenuh kerjasama dengan pihak MAS sendiri untuk mengenal pasti situasi sebenar pramugari tersebut.
“Pertama sekali, saya mohon maaf kerana memuat naik foto kacang yang saya peroleh dalam penerbangan itu. Kacang itu diberi secara percuma dan saya tidak meminta sebarang paket kacang daripada MAS sepanjang penerbangan tersebut,” ujarnya.
Menurut Azfar, dia menghargai pemberian itu. Namun, dia mengaku silap kerana memuat naik gambar berkenaan tanpa memikirkan kesan yang akan dihadapi pihak lain.
“Silap saya di sini adalah saya muat naik gambar tersebut tanpa mengambil kira impak yang boleh dihadapi pramugari tersebut. Sejujurnya saya tak tahu wujudnya SOP yang tidak boleh beri kacang lebih kepada penumpang dan saya mohon maaf kerana tidak peka dengan benda ini dari awal.
“Kedua, berkenaan dengan kenyataan yang mengatakan pramugari tersebut dibuang (kerja), saya cuba hendak kenal pasti dengan kesahihan kenyataan ini terlebih dahulu sebelum timbul banyak lagi salah faham daripada semua pihak,” tambahnya.
Tambah Azfar, dia masih belum boleh mengeluarkan sebarang komen mengenai isu pemberhentian pramugari terbabit kerana masih belum mendapat kenyataan rasmi daripada pihak MAS sendiri.
Bagaimanapun, dia turut berkata yang dirinya terbuka untuk memberi kerjasama bersama pihak MAS bagi menyelesaikan isu tersebut sewajarnya.
Sumber: Twitter