3 kejohanan badminton di Thailand telah pun tamat baru-baru ini. Prestasi skuad badminton negara pada kesemua kejohanan tu boleh dikatakan macam yo-yo. Sekejap ok sekejap tak ok. Tak konsisten.

Nasib baik Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann keluarkan kenyataan yang prestasi pemain pada kejohanan berkenaan tidak akan dinilai. Sebabnya, ia merupakan kejohanan antarabangsa pertama yang disertai skuad badminton negara sejak pandemik COVID-19 melanda. Selama ni, semua hanya jalani latihan tertutup di Akademi Badminton Malaysia je.
Mesti ada antara korang yang tanya “takkan dah dekat setahun berlatih pun prestasi tak konsisten?”. Mungkin pemain belum sesuaikan diri dengan suasana kompetitif kejohanan la kot. Sebab tak sama tekanan yang dirasai ketika latihan kalau nak dibandingkan dengan kejohanan sebenar.

Choong Hann juga tak teragak-agak untuk memberi pujian kepada mereka yang capai keputusan cemerlang dalam 3 kejohanan tersebut. Antaranya beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul naib juara pada kejohanan kedua. Selain itu, turut pamer prestasi cemerlang pada Jelajah Dunia Akhir BWF baru-baru ini iaitu beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai.

Walaupun prestasi mereka tak akan dinilai, BAM tetap akan jalankan bedah siasat terhadap prestasi mereka. Kena lah tahu jugak kenapa tak konsisten kan? Presiden BAM berpendapat prestasi hambar pemain negara pada kejohanan tersebut sebagai sesuatu yang serius. Datuk Seri Norza Zakaria berkata pemain telah diberi pelbagai kemudahan namun masih gagal pamer prestasi konsisten. Beliau juga tegaskan jika mereka tidak tunjukkan sebarang peningkatan pada kejohanan akan datang, akan ada perubahan drastik yang akan dilakukan BAM.
Hmm, ada baiknya juga Datuk Seri Norza Zakaria bertindak tegas macam ni. Atlet dah diberi peluang berlatih. Kemudahan pun macam-macam dah diberikan untuk latihan dan juga tempat tinggal. Takkan lah tak boleh nak.

Contohnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Memang mereka muncul naib juara dalam satu kejohanan. Tapi dalam 2 lagi kejohanan tu mereka tersingkir awal. Begitu juga dengan perseorangan lelaki kita, Lee Zii Jia. Pada kejohanan pertama dia mara sehingga peringkat suku akhir. Tapi pada 2 kejohanan seterusnya, tersingkir pada pusingan pertama dan juga pada peringkat kumpulan pada Jelajah Dunia Akhir BWF.
Kita tunggu lah ‘hasil’ bedah siasat BAM nanti. Kepada pemain negara, teruskan berlatih dan tingkatkan usaha. Harap-harap mampulah untuk konsisten lepas ni. Kepada jurulatih pula kena cepat kenal pasti punca pemain negara ni tak konsisten. Takut juga kalau perubahan drastik yang dikatakan Presiden BAM tu melibatkan mereka juga nanti kan?
Oleh: Karami Kamel