“Kalau Budak Universiti, Mereka Ada Ilmu” - Datuk Awie Ulas Trend Anak Muda Yang Lebih Berminat Jadi Influencer

Penyanyi dan pelakon berpengaruh, Datuk Awie mengaku dirinya menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran jika berpeluang untuk berbuat demikian.

“kalau budak universiti, mereka ada ilmu” - datuk awie ulas trend anak muda yang lebih berminat jadi influencer

Kongsi Awie yang kini berusia 54 tahun, jika diberi peluang untuk berputar kembali ke zaman muda, dia ingin menjadi lebih berdisiplin dan memberikan tumpuan kepada pelajaran.

“Sekarang saya baru sedar pentingnya untuk fokus pada pelajaran. Bila saya ada anak, saya cakap pada mereka untuk habiskan pelajaran dulu sampai peringkat universiti dan kemudian dia boleh terajui hidup.

“Bila tiada ilmu atau pengetahuan yang cukup, kita tak boleh bawa diri ke mana-mana, kecuali nasib. Nasib yang boleh boleh bawa kita keluar daripada kepompong kebodohan.

“Jangan tunggu nasib, sebaliknya usaha untuk berjaya dan jadi bijaksana kerana bijaksana tak datang, tapi kena cari. Jadi carilah ilmu itu,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada enam cahaya mata itu turut mengulas mengenai trend anak muda masa kini yang dilihat seolah-olah kurang berminat menyambung pelajaran kerana ingin menjadi influencer. Menurutnya, ia merupakan sesuatu yang merugikan.

“Kalau budak-budak yang belajar universiti, mereka ada ilmu. Jadi mereka tahu apa yang mahu dilakukan dan tidak ada masalah.

“Bagaimanapun kalau dari sekolah menengah atau rendah sudah nak jadi influencer, mereka kena fikir 200 kali kerana mereka tiada ilmu yang cukup untuk berdepan dengan masyarakat.

“Pelajar atau graduan universiti, mereka dihadapkan dengan public speaking dan banyak ilmu lain jadi kalau nak berdepan masyarakat, sudah belajar dari universiti.

“Kalau lepas sekolah menengah dan rendah, nak jadi influencer…nak jadi apa? Apa yang nak dibawa? Nak bawa ke arah mana. Ini semua perlu berilmu. Kalau tiada ilmu dan harapkan 500 ke 100 viewers sahaja, kau tidur dik! Jangan mimpi di siang hari,”  ujarnya.

 

Sumber: SinarPlus