Ambil Kesempatan Masa Pandemik, Awas Penipuan Pakej Haji, Umrah!

Kebelakangan ini, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan wujudnya iklan-iklan berkenaan pakej haji, umrah dan badal haji bagi tahun 2021 yang ditawarkan oleh beberapa agensi pelancongan di Malaysia.

ambil kesempatan masa pandemik, awas penipuan pakej haji, umrah!

Namun, berdasarkan penularan virus COVID-19 yang masih berleluasa serta sekatan perjalanan yang sedang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan, penawaran pakej-pakej sebegini adalah amat meragukan.

 

Memetik kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sehingga kini status perlaksanaan ibadah haji bagi tahun 2021 masih belum dapat dipastikan. Pihak kerajaan juga masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Arab Saudi berkenaan kebenaran ibadah haji serta kuota yang dibenarkan bagi musim 2021.

 

Antara lain, Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi cawangan Madinah (PERSADA) bertarikh 6 Jun 2021, pihak mereka juga telah menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan perkhidmatan badal haji boleh dilaksanakan oleh pelajar Malaysia di Arab Saudi tanpa permit atau lesen haji. Menurut mereka, perlaksanaan ibadah haji adalah berdasarkan kuota dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

 

Tambah lagi, harga bagi perkhidmatan badal haji sekitar RM1,500 sehngga RM2,000 adalah sama sekali tidak munasabah kerana perlu mengambil kira kos permit, penginapan, pengangkutan, makanan dan lain-lain perkara bagi melaksanakan ibadah tersebut.

 

Ekoran itu, pihak polis kini melihat tindakan segelintir agensi pelancongan mengiklankan pakej haji, umrah mahupun badal haji bagi tahun 2021 sebagai satu tindakan pramatang serta mungkin merupakan satu penipuan.

 

Justeru, pihak polis ingin menegaskan bahawa siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan boleh dijalankan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan penipuan pakej haji, umrah dan badal haji. Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebatan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan terhadap pesalah yang terlibat.

 

Orang ramai yang berminat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tahun ini juga diingatkan untuk sentiasa peka dengan perkembangan dan arahan-arahan terkini yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan sekatan perjalanan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

 

Sumber: PDRM