Aufahanie Akui Pandai Siang Ikan, Belajar Urus Kerja Dapur Sejak Usia 10 Tahun Lagi

Penyanyi, Aufahanie mengakui mula belajar memasak dan menyiang ikan pada usianya 10 tahun lagi apabila tinggal bersama bapa selepas ibu dan bapanya berpisah.

aufahanie akui pandai siang ikan, belajar urus kerja dapur sejak usia 10 tahun lagi

Menurut pemilik nama sebenar Nur Aufahanie Mokhtar, 20, beliau tidak mempunyai masalah untuk memasak dan menyiang ikan kerana sudah biasa melakukan kerja rumah dan urusan dapur sejak dari kecil.

 

"Seingat saya, ibu bapa bercerai ketika usia saya sembilan tahun. Jadi, apabila tinggal dengan ayah, saya memang kena buat kerja rumah serta memasak untuk dua abang dan seorang adik perempuan.

"Dari darjah empat hingga tingkatan tiga, saya tinggal dengan ayah. Selain, saya juga pernah hidup sendiri dan tinggal bersama abang. Jadi, saya dah terbiasa buat kerja-kerja dapur dan juga siang ikan.

"Saya memang pandai siang ikan. Cuma, kalau memasak kebanyakan resipi itu saya belajar dari Google atau telefon emak minta resipi," kata penyanyi lagu Saat Hilang Cintamu itu.

aufahanie akui pandai siang ikan, belajar urus kerja dapur sejak usia 10 tahun lagi

Aufahanie yang juga bekas peserta program Big Stage musim ke-5 berkata, isu tidak pandai menyiang ikan atau memasak dalam kalangan wanita tidak harus dijadikan perdebatan kerana ia boleh dipelajari setiap orang.

 

"Ada wanita yang tidak tahu memasak langsung ketika usia kanak-kanak, tapi bila dah berkahwin dan ada anak, boleh memasak sebab mereka ada keinginan nak belajar. Jadi, ia bergantung pada diri sendiri.

"Biasalah, ketika masih kecil (kanak-kanak) ada juga ibu-ibu yang tidak gemar biarkan anak gadis masuk dapur sebab tak suka keadaan jadi macam-macam. Tapi, bila dah besar boleh saja belajar masak kalau minat," katanya lagi.

 

Terdahulu, isu siang ikan hangat diperkatakan netizen selepas tular video menunjukkan aksi seorang pengacara wanita yang didapati tidak pandai menyiang ikan ketika program itu sedang bersiaran langsung.

 

Sumber: HMetro