Penyanyi, Ara Johari telah berdepan detik mencemaskan apabila seorang lelaki tidak dikenali bertindak melakukan gangguan seksual dengan mencium tangannya di belakang pentas.
Kejadian berlaku selepas beliau membuat persembahan di Nilai, Negeri Sembilan pada Ahad, sebelum lelaki tersebut bertindak menarik dan menggengam kuat tangannya serta mencium sebanyak dua kali.
“Saya ingatkan dia nak fist bum sahaja, jadi saya pun bagilah fist bum juga.
“Tapi dia terus tarik tangan saya nak salam, selepas itu dia genggam kuat-kuat. Dia cium tangan saya dua kali.
“Bukan cium biasa tau, memang cium bersungguh betul. Saya cuba tarik tangan pun tak boleh sebab dia dah pegang tangan saya dengan begitu kuat,” kata Ara menerusi hantaran di IG Story pada Isnin.
Menurut Ara, kerana bimbang dengan keselamatan dirinya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Nilai kira-kira jam 12 pagi, Isnin.
Lelaki tersebut juga telah berjaya ditangkap oleh penganjur dan orang ramai yang berada di lokasi, sebelum diserahkan kepada anggota polis bertugas di festival berkenaan.
Dalam pada itu, Ara turut menasihati orang ramai khasnya wanita untuk lebih berhati-hati ketika ditempat awam.
Sumber: Instagram Ara Johari