Penyanyi, Anuar Zain berjaya menghiburkan kira-kira 8,000 peminat yang hadir di Stadium Malawati, Shah Alam, pada konsertnya, Anuar Zain 40th Anniversary, pada Sabtu lalu.
Meskipun beliau akui kecewa apabila suaranya hilang dek kerana mengalami demam dan batuk yang teruk seminggu sebelum konsert, beliau tetap meneruskan nyanyian dan persembahan demi peminat tersayang.
Disebabkan itu juga, Anuar, 53, dilihat sukar untuk menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi dan terpaksa menggunakan nebulizer sepanjang konsert untuk memulihkan kembali pernafasannya setiap kali selesai menyanyi.
“Rasanya tak pernah dibuat penyanyi lain apabila terpaksa sedut nebulizer ketika menyanyi. Walaupun saya hampir kehilangan suara, tapi semangat saya kuat untuk selesaikan konsert ini.
“Apa pun yang terjadi, persembahan tetap perlu diteruskan. Melihat peminat yang datang menguatkan lagi semangat saya untuk meneruskan persembahan,” jelasnya.
Malah, Anuar juga bersyukur kerana konsertnya berjaya berjalan dengan lancar walaupun berdepan dengan masalah sedemikian.
Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu menyaksikan penyanyi ini melantunkan 20 buah lagu seperti Lelaki Ini, Sedetik Lebih, Bila Resah dan Sesucinya Cintamu.
Selain Anuar, beberapa rakan artis turut dilihat hadir memberi sokongan antaranya kakak beliau sendiri, Ziana Zain, Datuk Sheila Majid, Misha Omar, Rozita Che Wan serta anak saudaranya, Ernie Zakri dan suami, Syamel.
Sumber: Kosmo!
Video: ERA / SINAR