Bintang yang kian menaik, Anna Jobling, 22, terkejut apabila diumumkan sebagai satu-satunya calon dari Malaysia yang tersenarai dalam 100 Wajah Tercantik 2022 (100 Most Beautiful Faces of 2022) oleh TC Candler.
Memetik laporan portal akhbar tempatan, Anna berkata pengiktirafan peringkat dunia itu sememangnya satu perkara yang cukup besar baginya, lagi-lagi apabila dibariskan dengan jelitawan dari luar negara.
“Saya sangat bersyukur dicalonkan dalam kategori ini. Memang terkejut dan tak sangka diiktiraf 100 yang memiliki wajah jelita bukan di Malaysia saja, tapi dunia. Terima kasih sangat-sangat,” katanya.
Pun begitu, akui Anna kecantikan dalaman adalah yang paling penting buatnya.
“Mungkin orang akan cakap cantik itu dari luaran tapi ia sangat subjektif. Walaupun klise tapi bagi saya kecantikan itu datang dari dalaman seseorang.
“Kalau ada sikap terpuji, karakter baik, secara automatik akan menjadikan seseorang cantik di luaran serta dalaman. Tak kisah paras rupa macam mana, tapi kalau sayang diri, yakin, secara langsung akan cantik dari segala segi,” tambahnya.
Turut tersenarai dalam senarai tersebut adalah anggota BLACKPINK, Jisoo dari Korea Selatan, Garcia (Filipina), Camilla Belle (Amerika Syarikat), Kiko Chan (Vietnam), Momona Ramada (Jepun) dan ramai lagi.
Tahun lalu, anggota Dolla iaitu Tabby menjadi calon tunggal wanita Malaysia yang tersenarai dalam kategori itu.
Senarai tahunan 100 Wajah Tercantik itu telah dianjurkan TC Candler bersama The Independent Critics sejak 1990 lagi.
Sumber: [1]