‘Arwah Bapa & P. Ramlee Dulu Duduk Semeja’ - Anak Pencipta Lagu “Negaraku” Kenang Perjalanan Bapa

Waris kepada Allahyarham Saiful Bahri Elyas yang merupakan pencipta lagu kebangsaan Malaysia, iaitu “Negaraku”, berharap bapa mereka dapat menerima pengiktirafan sama seperti seniman lain.

‘arwah bapa & p. ramlee dulu duduk semeja’ - anak pencipta lagu “negaraku” kenang perjalanan bapa

Menurut anak ketiga arwah, Qus Nafiah, 50, arwah bapanya adalah antara rakan seni seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada zaman kegemilangan mereka dan sering menjadi juri bersama untuk sebarang pertandingan.

“Cukuplah jasa arwah bapa dikenang dan diiktiraf dalam lipatan sejarah Malaysia dan menjadi rujukan generasi hadapan, bayangkan generasi sekarang menyanyikan lagu kebangsaan tetapi tidak tahu siapa penggubahnya, adakah adil buat waris?” ujarnya.

“Bapa menumpahkan jasa kepada Tanah Melayu dan kemudian Malaysia dengan lirik-lirik gubahannya. Karyanya terkenal dan disiul sepanjang masa bagi membangkitkan semangat patriotisme,” tambahnya.

Dalam pada itu, Qus Nafiah turut berkongsi mengenai pengalamannya ketika melalui zaman sekolah yang mana kebanyakan rakan dia tidak mempercayai kata-katanya yang bapanya adalah pencipta lagu “Negaraku”.

Ini termasuk cucu arwah yang juga sukar untuk mempercayai perkara tersebut.

“Cucu sendiri tidak percaya disebabkan datuk mereka tidak terkenal seperti selebriti ternama lain pada era 1950-an dan 1960-an.

“Atas sebab itu juga, kami sekeluarga meneruskan usaha ibu sejak 1992 untuk mendapat pengiktirafan buat arwah bapa,” ujarnya.

Allahyarham Saiful Bahri mula membuka langkah dalam dunia seni tempatan selepas dilamar Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang mengenali beliau sebagai pemuzik di Studio Orkes di Indonesia.

Allahyarham pernah dipelawa untuk menyertai pertandingan mencipta lagu rasmi dan “Negaraku” pada 1956 yang mana beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM1,000.

Sekadar info, lagu “Negaraku” sebenarnya adalah berasal dari lagu negeri Perak, “Allah Lanjutkan Usia Sultan” yang kemudian digubah Allahyarham menjadi lagu kebangsaan.

 

Sumber: HMetro