Pelakon yang semakin dikenali selepas kemunculannya dalam drama bersiri Projek: High Council, Amir Ahnaf menafikan dakwaan yang mengatakan beliau kini semakin sombong dengan peminat.
Sebagai pelakon baharu, Amir, 23, bertegas mengatakan dirinya tidaklah seteruk seperti didakwa.
“Mungkin waktu dikatakan saya sombong itu, saya tidak sihat atau mahu balik awal dari majlis.
“Semua itu ada sebab-sebab dan mungkin juga saya ada kerja keesokan hari, orang lain tidak tahu pun kerjaya saya,” kata beliau.
Amir menambah, sebagai manusia biasa, ada kalanya juga dia mempunyai hari yang kurang baik untuk ditempuhi, menyebabkan dia menjadi kurang bercakap dengan orang lain.
“Saya hanya jadi diri sendiri, saya akan tegur atau bercakap dengan orang lain jika saya mahu.
“Mungkin disebabkan itu, ada orang beranggapan saya keras kepala.
“Saya tidak boleh nak ubah pandangan orang, terpulanglah mereka nak cakap apa pun,” ujarnya.
Tambah lagi beliau juga akui terkejut dengan tuduhan seperti itu memandangkan dia juga jarang muncul di hadapan khalayak ramai.
“Sejujurnya memang terkejut. Macam mana orang boleh keluarkan pandangan seburuk dan negatif itu sebab kalau boleh saya nak layan semua orang.
“Ketika satu sesi ramah mesra di sebuah pusat beli-belah tahun lalu, ada yang marah apabila saya luangkan masa bertegur dan bergambar dengan semua orang tetapi kalau tak lakukan, isu lain pula timbul.
“Saya sebenarnya seorang yang sangat mudah bergaul dan layan sahaja kalau nak bersembang topik apa pun.
“Saya akan tegur semua orang kecuali kurang sihat atau perlu pulang awal sebab ‘call time’ awal pagi untuk penggambaran,” katanya lagi.
Amir Ahnaf bagaimanapun memohon maaf andai perbuatannya itu sedikit sebanyak membuatkan pihak lain berkecil hati.
Sumber: HIB Glam