Drama Projek: High Council telah mencipta satu sejarah tersendiri bukan sahaja kepada penonton, malah kepada barisan pelakonnya.
Watak Kahar lakonan Amir Ahnaf adalah antara watak yang menjadi tumpuan ramai, dek kerana sikap baran dan suka kepada keganasan hingga berjaya meninggalkan bekas pada jiwa penonton.
Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Amir Ahnaf bin Mohd Khairudin ini, watak Kahar lakonannya itu ada sedikit persamaan dengan dirinya sebenar.
“Watak Kahar ni, luaran sahaja nampak bengis. Jauh di sudut hati, Kahar ni seorang anak yang sangat manja. Sifat dalaman Kahar ini banyak persamaan dengan saya.
“Saya ni seorang yang manja dan baik hati. Saya lebih selesa bercakap dalam keadaan lemah lembut dan kebanyakkan masanya saya lebih pendiam,” kata bekas peserta program Hero Remaja 2022 itu.
Dalam pada itu, Amir turut berterima kasih kepada pengarah kerana telah memberi kepercayaan kepadanya untuk pertama kali membawakan watak utama.
Menceritakan kembali ketika sesi ujibakat tertutup yang diadakan untuk drama Projek: High Council ini, pada awalnya Amir diberikan watak Zahrin yang kini dibawakan oleh Fazziq Muqris.
Namun selepas berjumpa pengarah iaitu Anwari Ashraf, beliau nampak bakat dalam diri Amir dan dipanggil untuk ujibakat kali kedua sebelum diberi watak Kahar.
Ketika ditanya mengenai keputusannya untuk masuk ke bidang seni memandangkan sebelum ini ketika di sekolah Amir adalah pelajar aliran sains tulen, jelasnya darah seni itu sebenarnya datang daripada ibunya sendiri.
“Ketika bersekolah, saya dan kawan-kawan ada tubuhkan satu band. Pada waktu itu, jiwa seni sangat memberontak.
“Satu lagi rahsia yang tak ramai orang tahu, ibu saya juga merupakan aktivis teater. Ibu sangat membantu, menyokong dan menasihati saya ketika belajar jurusan teater di UPSI dahulu,” jelas Amir lagi.
Selain Projek High Council, Amir juga telah membintangi drama bersiri Akim & Mira: Kisah Cinta 1999 dan memegang watak sebagai Ejoi yang telah mula disiarkan di Astro Ria bermula 22 Disember 2022.
Sumber: Media Hiburan