Adik kepada selebriti Neelofa iaitu Ameera Khan memanjatkan doa agar dikurniakan pasangan yang mampu membimbingnya ke jalan yang diredhai Allah SWT.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Ameera Khan, 24, beliau turut mendambakan calon suami yang boleh menghormati diri serta keluarganya, selain mampu membimbingnya mendekati Tuhan.
“Saya sentiada berdoa agar Allah mengirimkan seorang suami yang terbaik untuk saya di mata-Nya.
“Selain itu, saya juga mahu seseorang yang menghormati dan menghargai diri ini serta keluarga selain mampu membimbing saya mendekati Tuhan,” katanya dalam InstaStory.
Dalam pada itu, Ameera turut mengharapkan agar lelaki itu nanti akan menyayanginya sepenuh hati dan sanggup melakukan apa sahaja demi membahagiakan dirinya.
“Saya boleh beri kasih sayang yang banyak tetapi saya juga ingin rasa disayangi. Jadi, saya berdoa agar individu itu menyayangi saya lebih daripada saya mencintainya.
“Seseorang yang setia sangat sukar untuk ditemui pada hari ini. Seseorang yang faham bahasa cinta dan akan lakukan apa sahaja untuk pastikan saya bahagia dan tidak akan berkata perkara buruk yang menyakiti hati saya.
“Saya pernah fikir meminta perkara-perkara ini adalah mustahil sehingga saya sedar saya minta kepada Allah yang mencipta langit dan bumi, tiada yang mustahil bagi-Nya,” ujarnya menjawab soalan dari netizen yang bertanyakan ciri-ciri lelaki idamannya.
Sumber: Instagram / HIB Glam