All Together Now Malaysia 'Dihentikan' Sementara

Berikutan kontroversi berkait dengan dakwaan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), pihak penerbitan rancangan All Together Now Malaysia memutuskan untuk menghentikan sementara program tersebut sehingga siasatan berkenaan dakwaan tersebut selesai.

baru sahaja diudarakan, all together now malaysia 'dihentikan' sementara

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, rakaman program tersebut dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum PKP 3.0 dijalankan.

“Krew penerbitan telah menjalankan ujian calitan COVID-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula dan hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman,” ujarnya.

Tambah Raqim, “ Set yang dibina telah mengambil kira penjarakan fizikal antara juri dan diletakkan penghadang lutsinar antara mereka.”

Jelasnya lagi, rakaman program tersebut turut disertai wakil daripada agensi-agensi keselamatan.

Terdahulu, terdapat satu laporan berita tempatan yang memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan supaya siasatan dijalankan terhadap penerbitan rancangan itu berikutan terdapat dakwaan pelanggaran SOP.

Menerusi laporan yang sama juga, Ketua Pengarah, Datuk Mohd Rabin Basir menjelaskan bahawa siasatan ke atas rancangan itu akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). Laporan tersebut turut memetik, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran SOP yang dikenal pasti terjadi ketika rakaman rancangan tersebut, KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya.

 

Sumber: [1]