Akibat Tidak Kuarantin, Wanita Positif COVID-19 Sebabkan 7 Premis Ditutup

Gara-gara tidak mengambil serius dengan kuarantin, seorang model warga asing memohon maaf kerana telah menyebabkan tujuh premis di Ipoh terpaksa ditutup setelah dia disahkan positif COVID-19.

akibat tidak kuarantin, wanita positif covid-19 sebabkan 7 premis ditutup

Menurut laporan satu akhbar tempatan, wanita tersebut kemudiannya memuat naik satu entri permohonan maaf di Instagram kerana tidak mahu disifatkan sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri.

Tulisnya, “Pertama sekali, saya benar-benar ingin mengatakan bahawa saya minta maaf kepada semua orang atas kecuaian saya sendiri.

“Saya menimbulkan kebimbangan dan masalah yang tidak sepatutnya dihadapi kepada semua orang yang terlibat.

“Di sini, saya tidak akan mencari alasan untuk menyelamatkan diri saya dan membuktikan bahawa saya tidak bersalah, kerana saya memang mengakui kesilapan itu.

“Saya sangat menyedari betapa seriusnya kesilapan saya ini dan saya berasa malu kerana telah menyusahkan mereka yang terlibat.”

Difahamkan bahawa wanita tersebut merupakan seorang model dari China dan bekerja di Malaysia.

Dia pulang ke Ipoh, Perak setelah pulang dari tempat lain pada 9 April lalu dan menjalani ujian saringan COVID-19 apabila mendapat tahu dirinya merupakan kontak rapat dengan seorang individu yang dijangkiti COVID-19.

Tapi dia kemudiannya tidak mengambil langkah seterusnya iaitu dengan menjalani kuarantin kendiri sebaik sahaja selesai melakukan ujian saringan COVID-19.

Malahan, dia juga sempat berkunjung ke beberapa tempat di Ipoh sebelum mengetahui bahawa keputusan saringannya positif.

Dalam pada itu, ramai warga netizen serta penduduk bandar Ipoh meluahkan amarah mereka serta perasaan tidak puas hati terhadap tindakannya menerusi catatan wanita itu di Facebook.

Mereka menganggap bahawa kelakuan tersebut merupakan satu kesalahan yang tidak boleh diterima.

Selain itu, wanita tersebut juga telah menyenaraikan beberapa tempat yang dikunjunginya dan dilaporkan premis perniagaan yang terlibat terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada kerja sanitasi.

 

Sumber: [1]