Penyanyi yang memiliki kehebatan vokal di kelas tersendiri, Aina Abdul terus melebarkan sayap dalam kembara seni dengan melancarkan album sulung berjudul ‘IMAJI’ terbitan Aina Abdul Entertainment Sdn Bhd secara digital di sebuah Majlis Pra-Dengar dan Sidang Media yang diadakan baru-baru ini.
‘IMAJI’ yang membawa maksud susunan kata yang dapat memberi gambaran jelas seolah-olah efek khayalan sehingga pembaca mampu untuk turut sama merasa, melihat dan mendengar emosi sebenar yang ingin diungkapkan oleh penulis.
Maka, pemilihan judul ‘IMAJI’ sebagai simbolik kepada keseluruhan tema penceritaan untuk menterjemahkan seribu satu rasa bagi kesemua lagu yang dimuatkan dalam album ini dilihat cukup tepat dan sempurna kerana setiap lagu mempunyai kisah dan emosi yang ingin disampaikan.
Album ‘IMAJI’ menghimpunkan 14 buah trek istimewa hasil nukilan dan ciptaan Aina Abdul sepenuhnya termasuk single ‘Jangan Mati Rasa Itu’ yang baru sahaja dilancarkan pada 25 Ogos lalu.
Selain mengetengahkan irama balada yang sememangnya sinonim dengan Aina Abdul, album ini turut bereksperimen dengan genre yang lebih rancak seperti pop dan juga alternatif indie bagi menyuntik kelainan demi menerjah jiwa peminat.
Menurut Aina Abdul sendiri, beliau meluahkan rasa syukur dengan pelancaran album ini.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, Aina akhirnya berjaya merealisasikan impian sekian lama terpendam untuk memiliki sebuah album penuh yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup saya sendiri.
“Setiap lagu yang dihasilkan adalah intepretasi Aina terhadap emosi diri yang sarat termasuklah rasa marah, sedih, kecewa, diabaikan, dicintai, dihargai dan sebagainya,” demikian menurut Aina.
Menjadikan ‘IMAJI’ sebagai hadiah hari lahir Aina pada 25 Oktober 2023, yang cukup bermakna sebagai seorang penyanyi, Aina turut meluahkan rasa puas dan menghadiahkan semula ini kepada para peminat.
“‘IMAJI’ juga adalah hadiah hari jadi paling bermakna dalam diri saya sebagai penyanyi. Penerbitan album ini bukan sahaja disifatkan sebagai sebuah kepuasan peribadi yang cukup manis buat Aina, malah ia juga adalah tanda penghargaan dan buah tangan kepada peminat setia yang sudah lama menanti kemunculan album sulung saya,” ujar Aina.
Dalam pada itu, Aina turut berharap agar peminat boleh menerima ‘IMAJI’ dan lebih banyak buah tangan daripada penyanyi ini akan muncul dimasa akan datang.
“Saya berharap agar para peminat akan menyukai ‘IMAJI’ seperti mana saya sendiri menyukainya. Semoga album ini dapat membantu untuk mengukuhkan lagi posisi saya sebagai komposer dan penyanyi dalam industri muzik sekaligus menjadi pencetus kepada lebih banyak karya seni di masa akan datang, Insya-Allah,” kata Aina.
Album ‘IMAJI’ memuatkan 14 buah trek termasuk lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ (JMRI) yang telah terpilih sebagai lead single untuk album ini. Selain ‘JMRI’, lagu-lagu lain yang turut ditampilkan termasuklah ‘Imaji’, ‘Satu Rasa’, ‘Kamu’, ‘Puas Sudah’, ‘Sesal’, ‘Kejam’, ‘Bilang’, ‘Bukan Untukku’, ‘Sedia Terluka’, ‘Ini Bukan Cinta’, ‘Lost’, ‘Penat Jiwa’ dan ‘Kunci’. Album tersebut boleh dimuat turun menerusi kesemua aplikasi penstriman atas talian seperti iTunes Stores, Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox, YouTube Music dan Deezer.