Aina Abdul Mendunia, Julang Nama Malaysia Pada ‘ABU TV Song Festival 2023’ di Korea Selatan

Sepanjang tempoh hampir sedekad bergelar anak seni, pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang menjadi idaman ramai berjaya diraih oleh Aina Abdul.

aina abdul mendunia, julang nama malaysia pada ‘abu tv song festival 2023’ di korea selatan

Terbaharu, penyanyi cemerlang ini terus konsisten memahat nama dalam satu lagi detik kemasyhuran yang membanggakan di persada antarabangsa apabila terpilih mewakili negara sekaligus mengharumkan nama Malaysia untuk beraksi di pentas global ‘ABU TV Song Festival 2023’ anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU).

 

Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 pada kali ini dihoskan oleh stesen televisyen nasional Korean Broadcasting System (KBS) yang telah berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada malam tadi.

aina abdul mendunia, julang nama malaysia pada ‘abu tv song festival 2023’ di korea selatan

Ia turut menyaksikan pembabitan seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara telah terpilih untuk menjayakan acara penuh gemilang tersebut termasuk Malaysia yang diwakili oleh Aina Abdul. Manakala 10 penyanyi lain yang turut terlibat terdiri daripada Tia Ray (China), Chau Kat Pui (Hong Kong), Malini Awasthi (India), Ayaka Hirahara (Jepun), Mamamoo+ (Korea Selatan), Winifai (Macau), Sheron Silva (Sri Lanka), Annamyradow Begmyrat (Turkmenistan), Umut Sülünoğlu & Uğur Önür (Türkiye) dan Erik Lê Trung Thành (Vietnam).

aina abdul mendunia, julang nama malaysia pada ‘abu tv song festival 2023’ di korea selatan

Persembahan magis Aina Abdul menerusi lagu hit ciptaannya ‘Terus Hidup’ berjaya memukau hampir 2,000 penonton di dalam dewan. Lagu ikonik tersebut juga pernah membawa tuah dalam karier seni Aina pada awal tahun ini apabila dijulang sebagai Juara Lagu di Anugerah Juara Lagu Ke-37, selain berjaya mempertahankan trofi Vokal Terbaik buat kali kedua berturut-turut untuk persembahan lagu yang sama. Beliau juga turut mengekalkan momentum kecemerlangannya pada tahun 2023 apabila berjaya merangkul trofi Penyanyi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 sekitar Julai tahun ini.

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)

 

Dalam perkembangan terbaharu, Aina Abdul baru sahaja melancarkan album sulung berjudul ‘IMAJI’ secara digital yang dilihat sebagai pelengkap kerjaya muziknya. Album tersebut memuatkan 14 buah trek istimewa hasil nukilan dan ciptaan beliau sepenuhnya iaitu ‘Jangan Mati Rasa Itu’, ‘Imaji’, ‘Satu Rasa’, ‘Kamu’, ‘Puas Sudah’, ‘Sesal’, ‘Kejam’, ‘Bilang’, ‘Bukan Untukku’, ‘Sedia Terluka’, ‘Ini Bukan Cinta’, ‘Lost’, ‘Penat Jiwa’ dan ‘Kunci’.

“hadiah hari jadi paling bermakna sebagai penyanyi,” aina abdul lancar ‘imaji’

Baca: “Hadiah Hari Jadi Paling Bermakna Sebagai Penyanyi,” Aina Abdul Lancar ‘IMAJI’

 

Selain itu, Aina Abdul juga bakal mengadakan konsert solo berskala besar ‘A Night with Aina Abdul’ 3.0 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE) yang akan bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November kelak.

 

Susulan sambutan dan maklum balas luar biasa yang diterima, pihak penganjur turut menambah tiket bagi kategori MIP, Platinum dan Silver bagi menampung permintaan yang tinggi daripada peminat. Konsert tersebut menyasarkan seramai 10,000 pengunjung dan sehingga kini sebanyak lebih 80 peratus jumlah tiket berjaya terjual.

Sebanyak 33 buah lagu hits bakal dipersembahkan termasuk medley bertemakan gabungan genre moden serta irama klasik yang akan diiringi oleh barisan pemuzik profesional orkestra dan band di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor iaitu Mac Chew.