Penyanyi, Aina Abdul merasakan namanya dalam hiburan tempatan masih belum stabil, sebelum beliau mahu melebarkan sayap ke negara luar.
Menurut Aina, beliau percaya bahawa dia perlu mengukuhkan kedudukan di tanah kelahiran sendiri, sebelum merancang mahu ke negara lain seperti negara jiran, Indonesia.
“Saya rasa keberadaan saya dalam dunia hiburan tempatan masih belum stabil. Justeru saya perlu kukuhkan dahulu kedudukan di Malaysia sebelum ke negara luar.
“Saya tak sabar nak melangkah ke tahun 2024. Banyak perancangan yang telah dibuat terutamanya usaha untuk menyantuni peminat-peminat saya di luar Kuala Lumpur seperti Sabah dan Sarawak,” katanya.
Pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani dalam pada itu meluahkan rasa syukur kerana banyak perancangannya pada tahun ini berjaya dicapai.
“Saya tak nafikan tahun ini tahun yang paling ‘gila’ dan menyeronokan untuk saya. Di tahun ini jugalah saya berpeluang mengadakan konsert mega, melahirkan album sulung dan banyak lagi.
“Dan yang paling penting, saya mengenali ramai kawan baru yang bukan sahaja menolak saya kedepan, tetapi juga mengajar saya untuk berseronok dalam sibuk bekerja.
“Jadi saya sifatkan tahun ini adalah tahun penting yang menjadi tempoh pembelajaran bermakna untuk saya sebagai penyanyi,” katanya lagi.
Sumber: Utusan