Penyanyi, Aina Abdul meluahkan hasrat untuk membuka galeri yang mempamerkan semua pakaian yang pernah digayakannya.
Menurut pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, beliau percaya busana yang dipakainya mempunyai nilai sentimental, dan semuanya tidak terusik atau dibaiki dan berada dalam keadaan sama seperti kali terakhir digayakannya.
“Semua baju yang saya pakai di acara anugerah memang saya tak akan sentuh.
“Macam mana saya pakai, macam itulah saya tinggalkan baju itu. Begitulah keadaannya. Bagi saya, semua baju itu ada nilai sentimental.
“Saya turut merancang untuk buka galeri pakaian. Sudah berhabis ratusan ribu untuk baju, jadi tak salah untuk kita buat duit satu hari nanti,” katanya.
Aina yang tampil dengan lagu Imaji berkata beliau juga memutuskan untuk tidak mencuci lebih 200 pasang pakaian yang dipakainya sebelum ini bertujuan mahu mengekalkan mood asal.
“Rasanya dalam simpanan ada lebih 200 pasang baju. Saya tak akan jual sebab itu kenangan dan kesemuanya tak dicuci kerana mahu kekalkan nilai sentimentalnya. Bagi saya, semua itu ‘hidup’.
“Ada sebahagiannya dalam simpanan penata gaya, Abu dan separuh lagi dalam simpanan saya. Secara keseluruhannya semua pakaian yang kami letakkan di Axiata Arena tempoh hari ada lebih 100 pasang.
“Semua koleksi itu adalah dari awal kemunculan fesyen pelik saya di kaca televisyen termasuklah gaun berdarah yang saya pakai di AJL34,” ujarnya.
Melihat kepada tema yang diketengahkan Aina dalam setiap persembahan, ramai peminat berpendapat penyanyi kelahiran Johor ini bijak dalam mempromosikan dirinya dan tidak hanya bersandarkan vokal semata-mata.
Sumber: HIB Glam