Penyanyi, Aiman Tino, 25, mengakui beliau dan isteri, Syarah Haifa tidak mempunyai sebarang perancangan soal anak, dan bersyukur jika dikurniakan zuriat suatu hari nanti.
Menurutnya, sama seperti pasangan suami isteri lain, mereka turut diajukan soalan mengenai cahaya mata oleh orang sekeliling.
"Kami tak rancang apa-apa mengenai anak. Kalau 'melekat', Alhamdulillah. Memang soalan mengenai anak ini memang selalu diajukan.
"Pergi ke mana-mana pun, orang akan tanya. Kalau Allah bagi, itulah masa yang tepat. Kami okay saja menunggu. Jumlah anak-anak, saya rasa tiga sudah memadai.
“Saya tak rancang untuk ada ramai anak memandangkan ekonomi sekarang pun agak mencabar. Dengan kos sara hidup yang tinggi, saya rasa, tiga sudah memadai," katanya.
Tambah Aiman, sepanjang enam bulan melayari bahtera sebagai suami dan isteri, beliau akui ada kesukarannya tersendiri, memandangkan mereka juga dalam fasa mengenali antara satu sama lain.
"Selepas enam bulan bergelar suami, boleh saya gambarkan ia sebagai satu proses yang agak mencabar. Saya dan isteri masih dalam fasa saling mengenali antara satu sama lain.
"Ada juga rakan-rakan yang lebih berpengalaman yang berkongsi dengan saya, proses mengenali pasangan ini boleh memakan masa bertahun.
"Saya rasa, perlukan masa lebih lama untuk belajar selok-belok rumah tangga ini," katanya lagi.
Tambah Aiman lagi, dalam berumah tangga, pasangan suami dan isteri perlulah saling bertolak ansur dan saling memahami.
"Bila dah berumah tangga, kena saling bertolak ansur. Dia pun sama juga, bertolak ansur dengan saya. Kalau ada pertelingkahan kecil, itu normal.
"Pernah juga kami bertelingkah sampai saya tak dapat tidur dalam bilik. Ada ketikanya dia merajuk. Sebelum ini, kita sebagai anak-anak pernah melihat rencah kehidupan rumah tangga ibu bapa kita. Sekarang, saya sendiri melalui fasa itu dan saya belajar memujuk.
"Wanita, bila dia 'tinggi' (emosi), kita tak boleh 'tinggi' juga. Di rumah, saya tak banyak bercakap. Kalau dia sedang beremosi, saya diam saja.
"Saya duduk di luar sebentar, bagi dia sejuk sikit. Kemudian baru akan tanya dan berbincang dengan cara lembut. Kemudian dia pun akan berlembut hati. Dia nak kita sendiri pujuk dia," ujar penyanyi bersuara lunak ini.
Baca: Kini Suami Orang, Aiman Tino Tak Selesa Peminat Menggedik Dengannya
Sumber: HMetro